Wednesday, 5 September 2018

Mushroom Soup & Garlic Bread


“Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku)
dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku,
agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”




Allah Ta’ala berfirman;

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku. Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”  (Al Baqarah: 186)

Allah, melalui kitab suci Al-Quran menyatakan bahawa diriNya sangat dekat dengan hamba-hambaNya. Sebagai hamba pula, tanyakan diri kita, sedekat mana hubungan kita dengan Dia? Sejauh mana kita serius dalam menyahut segala panggilan Allah? Ayat di atas merupakan perintah untuk memenuhi setiap panggilan dan perintah Allah serta bersegera dalam melaksanakannya. Perkara ini sangat terkait rapat dengan terkabulnya permintaan seorang hamba. Lebih cepat seseorang hamba itu menyahut setiap panggilanNya, lebih cepat jualah setiap permintaan ia dikabulkan, insyaAllah. Hal ini sangat bertepatan dengan sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam mafhumnya;

“…Jagalah Allah, niscaya Dia akan menjagamu. Jagalah Allah, niscaya kau dapati Dia di hadapanmu…” (HR Tirmizi, No. 2516)

Sekiranya segala hak-hak Allah ditunaikan dan segala larangan ditinggalkan, pastinya Allah akan membuatkan kehidupan hamba itu lancar dan segala urusannya dipermudahkan. Dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'Anhu, ia berkata: Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda, "Sesungguhnya Allah Ta'ala berfirman:

"Siapa yang memusuhi wali-Ku maka sesungguhnya Aku telah menyatakan perang terhadapnya. Dan tidaklah hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu ibadah yang lebih Aku cintai dari apa yang telah Aku wajibkan kepadanya. Dan senantiasa seorang hambaKu mendekatkan diri kepadaKu dengan amalan-amalan Sunah hingga Aku mencintainya. Jika Aku mencintainya maka Aku menjadi pendengarannya yang ia gunakan untuk mendengar, penglihatannya yang ia gunakan untuk melihat, dan sebagai  tangannya yang ia gunakan untuk berbuat, dan sebagai kakinya yang ia gunakan untuk berjalan. Dan jika ia meminta (sesuatu) kepada-Ku pasti Aku akan memberinya, dan jika ia memohon perlindungan kepada-Ku pasti Aku akan melindunginya.” (HR. Al-Bukhari)

Namun, kita sebagai hamba terlalu sering mengabaikan perintah-perintahNya baik dari segi tidak melakukan terus perintah yang diwajibkan mahupun kita melaksanakannya secara sambil lewa. Dan antara perintah yang sering diabaikan oleh seorang hamba adalah kewajipan menunaikan solat di awal waktu. Betapa banyak dari kita yang terlalu sibuk dengan dunia sehingga mengabaikan waktu solat. Masih terasa berat bagi kita untuk meninggalkan sebentar pekerjaan kita demi memenuhi panggilan azan. Masih sibuk dengan urusan dunia tatkala muazzin di masjid melaungkan “Haiyya ‘alas Solah”. Yang tinggal untuk Allah, hanya sisa-sisa waktu terakhir. Belum lagi soal kualiti ibadah yang dilakukan, apakah solatnya khusyu’ dan baik? Seorang hamba yang baik pasti sangat menitik beratkan soal ini, dia bersegera dalam menyahut panggilan Ilahi ataupun dia sudah bersiap sedia lebih awal sebelum berkumandangnya azan. Dia setia untuk melangkahkan kakinya ke masjid lebih awal untuk menanti tibanya waktu solat. Subhanallah!



Itu baru satu perintah Allah untuk kita bersegera dalam menyahutnya, tapi masih banyak dari kita yang lalai! Jika perintah solat ini tidak mampu kita laksanakan dengan baik, apatah lagi perintah-perintah lain dan juga larangan-laranganNya untuk kita jauhkan.  Dan sekiranya perintah solat yang satu ini telah kita berjaya melaksanakannya, pasti akan dipermudahkan buat kita untuk melaksanakan perintah yang lainnya dan pastinya menjadi sebab kehidupan kita menjadi lebih baik, insyaAllah.

Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam berpesan, mafhumnya;

“…Bersemangatlah atas hal-hal yang bermanfaat bagimu. Minta tolonglah pada Allah, jangan engkau lemah...”(HR Muslim)

Ayuh, bersegera memperbaiki hidup kita dan mari mulakannya dengan menjaga solat di awal waktu! Semoga dipermudahkan buat kita untuk beramal. 




Kali ni ms diamond nak kongsi resepi MUSHROOM SOUP & GARLIC BREAD. Kalau mushroom soup je mesti semua terbayang Pizza Hut. Kalau terbayang mushroom soup, mesti nak makan dengan garlic bread kan? Sejujurnya, ms diamond bukan lah minat sangat dengan mushroom soup yang dihidangkan di restoran-restoran. Cukup sekadar untuk merasa, nak makan lebih-lebih, kembang juga tekak ni. Maklumlah, kita ni selera melayu yang sukakan sambal belacan dan tempoyak ditambah dengan anak tekak nogori yang sukakan pedas. Antara mushroom soup pizza hut dan domino’s, ms diamond lebih suka domino’s. Bagi ms diamond mushroom soup yang dihidangkan di domino’s lebih mesra dengan tekak melayu ni. Teringin juga nak makan mushroom soup yang ms diamond rasa boleh makan banyak-banyak. Jadi, ms diamond pun  ‘google’ resepi. Banyak versi juga dan banyak cara. Secara basic, dua sumber resepi menjadi rujukan dan ms diamond gabungkan menjadi resepi yang lebih mudah dan sedap. Ms diamond menggunakan bahan-bahan segar iaitu cendawan butang dan daun parsley yang segar. Banyak resepi yang ms diamond tengok menggunakan cendawan di dalam tin dan juga daun parsley digantikan dengan parsley flakes. Ms diamond memilih untuk menggunakan bahan-bahan fresh untuk membuat mushroom soup ni. Lebih fresh, sihat dan sedap!

Jom tengok resepi!


Bahan-Bahan Mushroom Soup 

300ml air
500ml susu segar
300-400g cendawan butang (anggaran 10-14 biji cendawan bersaiz sederhana) *ms diamond menggunakan cendawan butang berwarna perang.
1 kiub pati ayam *jika tidak mahu menggunakan kiub pati ayam,  untuk pilihan yang lebih sihat boleh buat stok ayam sendiri menggunakan 300ml air diatas.
1 sudu marjerin
3 sudu tepung gandum
Daun parsley
Lada hitam/ serbuk lada hitam
Garam


Cara-Cara

1. Tuang air dan susu di dalam periuk, biarkan ia mendidih. Masukkan kiub pati ayam.
2. Kacau sebentar sehingga kiub pati ayam larut, masukkan lada hitam dan cendawan. 
3. Kacau lagi sehingga mendidih lebih kurang 15 minit.
4. Masukkan daun parsley, mentega dan garam. Kacau sebati.
5. Bancuh tepung dengan air, tapiskan di dalam periuk. Kacau sup supaya tidak berketul.
6. Didihkan sup dan biarkan semua bahan sebati dan pekat.
7. Siap dihidangkan bersama garlic bread.


Bahan-Bahan Garlic Bread

Roti Gardenia
1 ulas bawang putih
Mentega
Daun parsley diracik halus


Cara-Cara

1. Bakar sedikit bawang putih dan tumbuk halus.
2. Campurkan bawang putih dengan mentega dan daun parsley.
3. Sapukan mentega bawang putih ke atas roti. Goreng tanpa minyak sehingga keperangan.
4. Siap untuk dihidang!



Selamat Mencuba!



Love,
Ms Diamond,
Nilai, Negeri Sembilan.