Sunday, 18 February 2018

Cheese Tart


Tatkala kecantikan jagad raya ini muncul,
Ia menghadap ke arahku dan berseru: "Kemarilah!"
Aku berpura-pura buta, seolah tidak bisa melihatnya,
Setelah aku mengetahui tujuan dalam diriku. 




Kesudahan Dari Sebuah Kesabaran.



Aku membaca surah Yusuf, aku terkagum-kagum dengan pujian terhadap Nabi Yusuf atas kesabarannya dan penjabaran kisah beliau kepada manusia, dan ditinggikan darjat beliau dikeranakan meninggalkan apa yang telah beliau tinggalkan.


Aku pun merenungkan rahsia perkara ini. Ternyata itu terletak pada sikap menyelisihi hawa nafsu yang tidak dia suka.

Aku pun mengatakan, duhai sungguh menakjubkan! Sekiranya Yusuf memperturutkan hawa nafsunya, apa jadinya diri Yusuf? Namun kala beliau menentang hawa nafsunya, maka itu menjadi suatu perkara yang sangat agung. Kesabaran Yusuf pun dijadikan permisalan. Dan itu semua terwujud hanya dengan kesabaran sesaat. Sungguh, betapa mulia dan bangga bila engkau bisa menguasai dirimu saat engkau mau bersabar menahan diri dari orang yang engkau cintai, padahal dia dekat denganmu!



Maka dari itu perhatikanlah semoga Allah merahmatimu, kesudahan dari sabar dan juga kesudahan dari memperturutkan hawa nafsu! Orang yang berakal adalah yang mampu membezakan antara dua hal ini; antara dua hal yang manis dan dua hal yang pahit. Barangsiapa yang memperbaiki timbangannya, dan anak neraca nafsunya tidak lebih berat, maka dia akan melihat semua keberuntungan ada dalam kesabaran, dan kerugian yang paling besar ada dalam memperturutkan hawa nafsu. 

Dan cukuplah ini menjadi nasihat bagi orang yang  berakal untuk menentang hawa nafsu! Dan Allah yang memberi bimbingan taufik. 



- petikan dari kitab Shaidul Khathir, Ibnul Jauzi.


........................................................................


Assalamualaikum sahabat semuanya. Semoga Allah merahmati sahabat sekalian, dipermudahkan urusan serta dilimpahkan kebaikan yang banyak dari Allah 'azza wa jalla. 

Kali ni Ms Diamond nak kongsi resepi CHEESE TART kegemaran ramai. Alhamdulillah, cheese tart ni ada peminat setia yang selalu 'repeat' order sejak Ms Diamond mula buat dulu-dulu zaman belajar di USIM dulu. Dan boleh dikatakan memang 'berhantu' juga la cheese tart ni. Ada yang tak berapa minat cheese tart pun, mula jatuh cinta. Sama macam Ms Diamond jugak dulu, tak berapa minat cheese, tapi bila dah rasa, terus jatuh cinta dan sekarang boleh dikatakan memang peminat tegar cheese.  :)

Resepi cheese tart ni Ms Diamond rujuk blog kak ita masam manis. Ada cara 'step by step' nak buat cheese tart ni. Sangat berguna untuk 'beginner'. Semoga Allah memberkati kak ita yang sudi 'share' resepi.

Jom kita tengok resepi!



Bahan pastry

290g tepung gandum
170g butter 
50g gula icing
1 biji telur gred C
1 sudu kecil esen vanilla

Cara-caranya:-

1. Gaul butter dan gula sehingga sebati dengan menggunakan spatula atau senduk apa-apa je.
2. Kemudian, masukkan telur dan esen vanilla. Kacau sehingga sebati. 
3. Setelah itu, masukkan tepung sedikit demi sedikit. Gaulkan tepung bersama adunan tadi sehingga menjadi dough.
4. Akhir sekali, tekapkan dough tadi ke dalam acuan dan bakar pada suhu 150 degree selama 10 minit.

Caution! kadang-kadang Ms Diamond tak ikut sangat sukatan tepung tu semua sebab ia bergantung pada texture dough yang kita nak..ada masa buat kena lebihkan tepung, ad masa ikut sukatan yang betul dan ada masa kena kurangkan pulak. Dari segi texture dough, Ms Diamond tak suka lembut sangat dan keras sangat..sedang-sedang je..

Tips! Kalau tengok style baker yang lain, diaorang selalu cucuk dough dalam acuan tu dengan lidi. Katanya nak bagi pastry tu mudah keluar dari acuan lepas dah dibakar..tapi Ms Diamond tak buat pon. Dulu-dulu susah jugak nak keluar sampai kena ketuk sekuat hati..hee..tapi lama-lama, dengan pengalaman, mudah je. Alhamdulillah, sekarang dah tak ada masalah untuk keluarkan crust. Jadinya sahabat-sahabat tak perlu sedih ye kalau ada saat crust tu keras semacam. 

In the making of crust

Isikan fillings


Cream cheese

250g cream cheese
50g gula kastor
1 biji telur gred B
1 sudu kecil esen vanilla
1 sudu kecil lemon oil

Cara-caranya:-

1. Langkah pertama, pukul cream cheese, kemudian masukkan gula kastor, dan telur. pukul adunan sehingga sebati. 
2. Kemudian, masukkan esen vanilla dan lemon oil dan kacau dengan menguunakan sudu sehingga sebati.
3. Masukkan adunan cream cheese ke dalam crust yang dah di bakar tadi dan fill it up dengan 'flavor' yang kita nak. Blueberry, strawberry, kiwi, lemon, mango, orange. 
4. Bakar pada suhu 150 degree selama 10 minit.
5. Siap untuk dimakan!


p/s:-ada resepi lain menggunakan butter dan susu segar. Ada banyak version jugak sebenarnya. Tapi resepi ni yang paling mudah dan pada masa yang sama mengekalkan rasa cheese yang sebenar.






Selamat Mencuba!


Love,

Ms Diamond,
Pandan Indah.

Thursday, 15 February 2018

Tart Telur Buncit


Imam Ahmad pernah ditanya: "Kapan istirehat buat hamba?"
Beliau rahimahullah menjawab: "Ketika sebelah kakimu menjejaki syurga."


Ingat tak lagi bila kali terakhir kita diberikan ujian oleh Allah. Rasa penat, lelah dengan usaha yang tiada hasil, kesakitan dan ketidakselesaan yang menimpa anggota badan yang dipinjamkan oleh Allah buat kita, masalah berterusan menimpa, kerisauan yang tiada penghujung. Ujian itu semua terasa berat buat kita. Ternanti-nanti bila Allah akan mengangkat semua itu dan gantikan dengan kenikmatan yang didambakan dan bila agaknya doa yang tulus ini akan dikabulkan. Katanya, Allah itu tidak pernah menolak permintaan hamba.

Sebenarnya, dalam tak sedar, itulah kali terakhir kita merasakan nikmat bermunajat kepadaNya, merasa khusyu’ di dalam setiap ibadah kita, merasa nikmat menangis saat sujud. Itulah kali terakhir kita bangun malam bertemu Sang Pencipta dan menangis, juga kali terakhir zikir pagi petang kita hayati sebaiknya.

Ya, kesedihan telah berlalu, diganti dengan kebahagiaan. Akan hadirnya nanti kesedihan itu semula dan bergantinya pula dengan kebahagiaan sehingga akhir hayat hamba. Apapun keadaan sahabat-sahabat sekalian, jangan pernah sesekali mengira kebahagiaan yang kita raih adalah bentuk nikmat dari Allah dan kesedihan yang menimpa pula adalah kerana kurangnya kasih dan rahmat Allah buat kita. Nikmat dan ujian tersebut boleh jadi sebaliknya dari makna zahirnya. Dari Anas bin Malik, Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:


إِنَّ عِظَمَ الْجَزَاءِ مَعَ عِظَمِ الْبَلاَءِ وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلاَهُمْ فَمَنْ رَضِىَ فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السَّخَطُ

“Sesungguhnya pahala besar diberikan kerana balasan untuk ujian yang berat. Sungguh, jika Allah mencintai suatu kaum, maka Dia akan menimpakan ujian untuk mereka. Barangsiapa yang redha, maka ia yang akan meraih redha Allah. Barangsiapa siapa yang tidak suka, maka Allah pun akan murka.” (HR. Ibnu Majah no. 4031, hasan kata Syaikh Al Albani).



Di dalam surah Al-Fajr, Allah merakamkan sikap manusia terhadap nikmat dan ujian. Allah berfirman maksudnya:

“Maka apabila manusia itu diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya (ia tidak mahu bersyukur dan takabbur) berkata dengan sombongnya: ‘Tuhanku telah memuliakan aku!’. Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya (ia tidak sabar bahkan rasa gelisah) dan berkata: ‘Tuhanku telah menghinakan aku!” (Al-Fajr: 15-16)



Perhatikan firman Allah Ta’ala di dalam surah Fussilat, ayat 49-51:

“Manusia tidak jemu-jemu memohon kebaikan, Dan kalau ia ditimpa kesusahan maka menjadilah ia seorang yang sangat berputus asa, lagi sangat nyata kesan putus harapnya (dari rahmat pertolongan Allah).”

“Dan demi sesungguhnya! Jika Kami beri ia merasai sesuatu rahmat dari Kami sesudah ia ditimpa sesuatu kesusahan, berkatalah ia (dengan sikap tidak bersyukur): ‘Ini ialah hakku (hasil usahaku semata), dan aku tidak fikir bahawa hari kiamat akan berlaku dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku sudah tentu aku akan beroleh kebaikan di sisiNya (seperti kesenanganku sekarang ini)!’ Maka demi sesungguhnya Kami akan memberi tahu kepada orang-orang kufur ingkar itu akan keburukan apa yang telah mereka kerjakan, dan Kami akan beri mereka merasai azab seksa yang seberat-beratnya.”

“Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari bersyukur) dan apabila ia ditimpa kesusahan, maka ia berdoa merayu dengan panjang lebar.”

Ya, tidak sedikit yang hanya mendekatkan diri dan mengingatiNya di saat sulit. Ketika telah diangkat kesulitan, mereka berpaling, lupa terhadap Zat yang dia meminta dan mengadu nasib. Dan setelah itu diberikan ujian lagi, mereka berputus asa. Sikap seperti ini banyak dirakamkan di dalam Al-Quran sebagai peringatan buat hamba. Antaranya firman Allah:

“Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, mereka segera berdoa kepada Tuhan mereka dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepadaNya, kemudian apabila Allah memberi mereka sesuatu rahmat, tiba-tiba sebahagian dari mereka mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Tuhannya.” (Ar-Rum, 33)

“Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa daratan) dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa.” (Ar-Rum, 36)



Orang seperti itu, Allah akan membiarkan mereka sibuk menguruskan nikmat yang terasa begitu indah buat mereka. Allah berfirman:

“…Katakanlah (kepadanya): ‘Bersenang-senanglah engkau dengan kekufuranmu itu bagi sementara, sesungguhnya engkau dari penduduk neraka.” (Az-Zumar, 8)

Sungguh ramai yang telah tertipu dengan nikmat dan menjadi orang yang gagal menghadapi ujian! Allah berfirman di dalam surah Az-zumar ayat 49:

“… (Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian (adakah ia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu).”

Ketahuilah sahabat, kita tidak akan pernah mendapatkan kesenangan sepenuhnya di bumi ini kerana dunia ini sememangnya tempat ujian. Addunya, Daarul Bala’ wal Aakhirah Daarul Jazaa’ (Dunia itu tempat ujian, sedangkan akhirat adalah tempat menerima pembalasan; yang baik mahupun buruk). Usah terlalu berharap pada dunia, usah terlalu bersedih dengan hilangnya dunia. Apa yang perlu kita khuatirkan adalah perkara besar, bukan perkara ‘sepele’ seperti melayan perasaan sedih dan kekhuatiran yang melampau. Tenang-tenang sahaja menjalaninya, pasti kita akan sampai ke tempat yang ingin kita tuju, insyaAllah. Semoga kita menjadi hamba yang bersyukur ketika mendapat nikmat, dan bersabar ketika ditimpa ujian dan musibah, insyaAllah. 


Terpanjang pula mukaddimah kali ni. Diharapkan, shabat-sahabat mendapat manfaat dari perkongsian Ms Diamond.



Kali ni sebenarnya Ms Diamond ingin berkongsi resepi “egg tart” yang Ms Diamond pernah buat dulu. Ms Dimaond tak ingat ambil resepi dari mana. Harap pemilik resepi menghalalkan untuk Ms Diamond berkongsi resepi di sini. Semoga Allah membalas jasa baik empunya resepi. Nama yang diberi adalah “TART TELUR BUNCIT.” Sesuai dengan namanya memang buncit pun. Hehe. 

Apa yang Ms Diamond boleh kata, memang sedap tart telur ni, rasa yang sangat mewah dan ‘creamy’ tak seperti tart telur klasik yang biasa kita makan tu. Ms Diamond lebih suka dengan tart telur buncit ni berbanding tart telur biasa. Sebab ada rasa cheese dan lemon mungkin. Apa pun, resepi ni memang sangat best dan tak rugi untuk dicuba buat penggemar tart telur di luar sana.

Ok, sudah dengan review tentang tart telur ni, jom kita tengok resepi ye.

Bahan-Bahan Crust

50g gula aising
170g mentega
1 biji telur gred C
290g tepung gandum
Esen vanilla

Cara-Cara

1. Di dalam satu bekas, gaul sebati gula dan mentega. Masukkan telur dan esen vanilla,  gaul sebati.
2. Masukkan tepung sedikit-sedikit sehingga habis dan menjadi dough.
3. Tekapkan dough ke dalam acuan crust tart. Bakar selama 10 minit pada suhu 160 darjah celcius.

Ok, dah siap crust, kita buat filling telur pula untuk di isi dalam crust tu. Crust tu kita boleh buat awal dan simpan di dalam bekas kedap udara dan tahan selama berbulan-bulan juga. Bila teringin ja nak makan tart, kita boleh tinggal sediakan filling cheese atau telur atau apa-apa jenis tart. Senang kan?



Bahan-Bahan Filling

Bahan A

5 sudu besar cream cheese (125g)
¼ cawan susu segar


Bahan B

2 biji telur + 1 biji telur kuning
1 cawan gula halus
1 ¼ cawan susu segar
2 sudu besar tepung custard
1 sudu kecil yogurt, lemon dan esen vanilla

Cara-Cara

1. Blendkan Bahan A menggunakan blender. (Guna blender kering saja pun boleh. Tapi jangan guna blender cili pulak ye)
2. Di dalam satu bekas, satukan Bahan A yang telah diblend, telur dan gula, whisk sebati.
3. Masukkan esen vanilla, yogurt dan lemon
4. Masukkan susu segar dan whisk sebati. Kemudian masukkan tepung custard dan whiskan sehingga sebati.
5. Setelah itu, masak kesemua bahan yang telah di’whisk’ atas api kecil sehingga kental.
6. Tunggu sejuk baru pipekan ke dalam crust tart dan bakar pada suhu 160 darjah celcius selama 10-15 minit.
7. Siap!


Selamat Mencuba!



Love,
Ms Diamond,
Pandan Indah.

Friday, 9 February 2018

Untukmu Penuntut Ilmu



Suatu ilmu akan menjadi bencana apabila tidak sejalan dengan kehendak Allah,
Entah kerana substansi ilmu itu memang tidak dicintai Allah,
Atau kerana niat orang yang mempelajarinya bukan kerana Allah
(Ibnul Qoyyim, Fawaidul Fawaid)




Ilmu memiliki kedudukan penting bagi manusia, yang dengannya Allah membezakan darjat mereka. Allah Ta’ala berfirman:

“…Katakanlah, ‘Apakah sama antara orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?’ Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.” (Az-Zumar, 9)

Kemudian Allah berjanji untuk mengangkat derajat orang-orang yang berilmu. Allah Ta’ala berfirman:

“…Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat…” (Al-Mujadilah, 11)

Ketahuilah, hanya Ilmu agama islam dapat mengantarkan pemiliknya ke Syurga dan kebahagiaan di akhirat, sedangkan bagi pemilik ilmu keduniaan, yang tidak beriman kepada Allah, dan yang menjadikan ilmu sebagai sarana untuk mengejar dunia semata, maka jerih payahnya hanya akan dibalas di dunia sahaja dan kelak di akhirat amalan mereka seperti debu yang beterbangan.

Menuntut ilmu telah Allah jadikan sebagai suatu sarana untuk menuju syurga, sebagaimana sabda Rasulullah:

“Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan baginya menuju Syurga.” (HR Bukhari dan Muslim)



Justeru,  buku yang amat penting yang mengupas secara lengkap tentang menuntut ilmu adalah “PANDUAN LENGKAP MENUNTUT ILMU” yang diterjemahkan dari KITABUL ‘ILM karya Fadhilatul ‘Allamah asy-Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Uthaimin. Buku ini adalah terbitan Pustaka Ibn Katsir dan mengandungi 364 halaman. Sedikit maklumat mengenai pegangan pihak penerbit, penerbit berpegang pada prinsip Al-Quran dan Sunnah sesuai dengan pemahaman generasi pertama yang shalih dari umat ini serta matlamat mereka untuk memberikan karya yang ilmiah lagi asli. Misi utama pihak penerbit adalah untuk memudahkan kaum muslimin untuk memahami dinul islam (agama islam) dan mengenalkan para ulama dan warisan ilmiah kepada kaum muslimin. Semoga Allah memabntu dan memudahkan urusan pihak penerbit untuk mencapai tujuan mereka yang murni seterusnya dapat membantu kaum muslimin. Aamiin.

Buku ini amat penting kerana membahaskan secara menyeluruh tentang panduan dalam menuntut ilmu sesuai dengan judul terjemahan yang diberikan, Panduan Lengkap Menuntut Ilmu. 5 bab utama yang terkandung dalam buku ini membahaskan:

(i)             Definisi Ilmu, Keutamaan dan Hukum Mencarinya

Bab ini ringkas menerangkan tentang pengertian ilmu iaitu ilmu syari’e yang dijadikan perbahasan di dalam buku ini. Seterusnya dijelaskan 13 keutamaan ilmu. Kerana ilmu, seseorang beribadah kepada Allah berdasarkan bashirah (mata hati), maka hatinya akan selalu terpaut dengan ibadah dan hatinya pun akan diterangi dengan ibadah itu sehingga menganggap hal itu sebagai ibadah dan bukan sebagai adat (kebiasaan) semata. Ilmu itu terkadang menjadi fardu kifayah dan terkadang menjadi fardu ‘ain bagi manusia.

(ii)        Adab-Adab Yang Harus Dimiliki Oleh Penuntut Ilmu dan Beberapa Faktor yang Membantu Dalam Memperoleh Ilmu

Penuntut ilmu sewajibnya memperhatikan adab. Adab terhadap ilmu, diri sendiri, orang lain, ulama’ dan lain-lain. Di dalam buku ini, dijelaskan 12 adab secara rinci yang harus dimiliki oleh penuntut ilmu. Di antaranya adalah niat yang ikhlas semata kerana Allah. Perhatikan ancaman keras dari kekasih kita:

“Barangsiapa mencari ilmu yang seharusnya ditujukan untuk mengharap wajah Allah, lalu tidaklah ia mempelajarinya melainkan untuk mencari keuntungan dunia, maka dia tidak akan mencium bau aroma syurga.” (HR Ahmad)

Selain itu, penuntut ilmu wajib menghormati ulama dan memuliakan mereka, berlapang dada ketika terjadi ikhtilaf di antara ulama dan selain mereka. Usah terlalu sibuk memperkatakan tentang ikhtilaf para ulama, memperdebatkan mengenainya apa lagi mengembar-gemburkan kesalahan-kesalahan mereka. Sebaliknya, penuntut ilmu seharusnya sentiasa menyibukkan diri mereka dengan ilmu. Harus diperingatkan bahawa penuntut ilmu harus bersikap adil dalam setiap keadaan. Allah Ta’ala berfirman:

“…dan janganlah kebenciaan kalian kepada sesutau kaum menyebabkan kalian tidak berlaku adil.” (Al-Maaidah, 8)

Ya, berlaku adil walaupun terhadap ulama’ yang kita anggap ulama suu’. Biarkan mereka yang lebih ‘alim untuk memperbetulkan kesalahan ulama lainnya. Namun, jika kita perlu menyampaikan dan mengingatkan  tentang kekhilafan itu seharusnya dibuat dengan penuh hikmah dan niat yang baik. Tetaplah ingat bahawa fokus utama kita adalah menuntut ilmu!
Penuntut ilmu juga harus berpegang teguh kepada al-Kitab dan as-Sunnah serta bersungguh-sungguh dalam memahami maksud firman Allah dan sabda RasulNya. Betapa banyak kesalahan yang dilakukan oleh manusia yang berdalil dengan nash tetapi tidak sesuai dengan apa yang dimaksud oleh Allah dan RasulNya lalu lahirlah kesesatan akibat daripada hal itu.

Dan beberapa adab lainnya yang harus kita semak di dalam buku ini untuk jadikan panduan untuk mengukur sejauh mana kita sudah beradab dengan adab yang sebenar sebagai penuntut ilmu.


Antara buku yang membahaskan tentang 
 adab dan akhlak penuntut ilmu 
dengan baik

Seterusnya, perbahasan kedua di dalam bab ini adalah faktor yang dapat menolong dalam memperoleh ilmu. Antaranya adalah dengan takwa, istiqomah dan menghafal.
Allah berfirman:

“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu bertakwa kepada Allah, niscaya Dia akan memberikan furqaan (kemampuan untuk membezakan antara haq dan batil) kepadamu dan menghapus segala kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosa)mu. Dan Allah memiliki kurnia yang besar.” (Al-Anfaal, 29)

Takwa akan menghasilkan tambahan hidayah, tambahan ilmu, dan tambahan hafalan. Oleh kerana itu, Imam Syafie rahimahullah meneyebutkan:

Aku mengadukan kepada Waki’ tentang jeleknya hafalanku,
Lalu dia membimbingku agar aku meninggalkan maksiat,
Dan dia berkata, “Ketahuilah bahawa ilmu adalah cahaya,
Dan cahaya Allah tidak akan dibetikan kepada orang yang bermaksiat.”





Seorang penuntut ilmu harus bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu dan meninggalkan segala hal yang dapat memalingkan dan menyibukkannya dari mencari ilmu. Waktu yang ada harus digunakan sebaiknya dengan menuntut ilmu. Sikap penuntut ilmu itu adalah menghargai masa! Terdapat banyak contoh yang masyhur  di kalangan salaf dalam kesungguhan mereka menuntut ilmu sehingga diriwayatkan dari Ibnu Abbas radiyallahu ‘anhu bahawa dia ditanya, “Dengan apa engkau mendapatkan ilmu?” Dia menjawab, “Dengan lisan yang banyak bertanya, hati yang selalu berfikir dan badan yang tak kenal lelah.”

Buku yang baik sebagai motivasi
untuk memanfaatkan waktu

(iii)     Beberapa Cara untuk Memperoleh Ilmu dan Beberapa Kesalahan yang Harus Dijauhi


Seorang penyair berkata:

Ilmu adalah lautan pasang,
Seorang pekerja keras pun tak akan mampu mencari dasarnya,
Akan tetapi di dalam landasan pokoknya ada hal yang memudahkan,
Untuk menggapainya bersungguh-sungguhlah,
Maka jalan akan kau dapatkan,
Manfaatkanlah kaedah-kaedah dasarnya,
Maka siapa yang menghancurkannya,
Dia akan memetik kegagalan.

Landasan pokok yang dimaksudkan adalah dalil-dalil dari al-Quran dan as-Sunnah yang nantinya bila kita dihadapkan dengan seribu masalah, dengan landasan ini memungkinkan kita untuk menetapkan hukum.

Di antara hal-hal yang wajib dijauhi oleh penuntut ilmu adalah hasad, berfatwa tanpa ilmu, kibr (sombong), fanatik, merasa ‘alim serta buruk sangka. Penuntut ilmu adalah orang yang terhormat, Maka janganlah engkau menurunkan darjatmu pada kehinaan dan kerendahan, tapi jadilah engkau sebagaimana mestinya.




(iv)     Kitab-Kitab Para Penuntut Ilmu dan Fatwa-Fatwa Seputar Ilmu dan Faedah-Faedahnya

Bab ini adalah bab terpenting yang menunjukkan bahawa seseorang itu adalah penuntut ilmu. Bab ini menerangkan tentang kitab-kitab yang harus dimiliki oleh penuntut ilmu. Ditekankan di dalam bab ini beberapa perkara penting. Antaranya, bagaimana kita bermuamalah dengan kitab? Apakah kita sudah mengetahui isi kitab? Istilah-istilah ilmu? Serta uslub (method) dan ibarah (gaya bahasa) sesuatu kitab?

Seterusnya diberikan penekanan untuk mengumpulkan kitab, mempunyai minat terhadap kitab-kitab penting. Di antara kitab-kitab agung yang wajib diminati oleh penuntut ilmu adalah kitab-kitab Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan muridnya Ibnul Qoyyim rahimahumallah. Kitab-kitab Ibnul Qoyyim lebih mudah difahami dan lebih lembut gaya bahasanya. Manakala gaya bahasa Syeikh Ibnu Taimiyyah amat kuat dengan sebab kedalaman ilmunya dan kecerdasan akalnya.


Raudhatul Muhibbin karya Ibnul Qoyyim
 tentang cinta

Antara karya terbaik Ibnul Qoyyim yang harus 
dibaca dandicermati nasihat dan hikmah 
yang terkandung di dalamnya

Di dalam bab ini, penulis menyenaraikan beberapa kitab penting buat penuntut ilmu mengikut kategori akidah, hadis, fiqh, faraaidh, dan kitab-kitab umum dan beberapa disiplin ilmu. Kita semak sama ada kita sudah memiliki kitab-kitab tersebut atau tidak. Jika sudah kita miliki, adakah kita sudah membaca dan memahami isi kitab tersebut?

Seterusnya, perbahasan terpenting dimuatkan di dalam bab ini adalah fatwa-fatwa seputar ilmu untuk kita lebih memahami hakikat ilmu dan menjadi penuntut ilmu sejati. Merangkumi 119 persoalan kesemuanya dan dijawab oleh Fadhilatus Syeikh Shalih “Uthaimin yang dapat kita ambil manfaat dari nasihat-nasihat berharga beliau mengenai ilmu. Bacalah nasihat-nasihat tersebut untuk kalian dapatkan semangat untuk menuntut ilmu.

(v)               Risalah-Risalah Penting

Bab ini sangat istimewa kerana dimuatkan di dalamnya lapan risalah atau surat dari syeikh buat penuntut ilmu mengikut tema penting. Tiada kata yang dapat diungkapkan melainkan, bacalah buku ini! Nasihat syeikh bagaikan mutiara yang amat bermakna dalam kehidupan kita. InsyaAllah sama-sama kita ambil manfaat.




Sebagai kesimpulan, buku ini sangat harus kita miliki kerana setiap dari kita adalah penuntut ilmu dan selamanya penuntut ilmu. Semoga mendapat manfaat dari buku ini. InsyaAllah perbahasan buku yang penting mengenai adab dalam menuntut ilmu akan dibahaskan dan di ‘review’ pada masa akan datang untuk sama-sama kita menjadi penuntut ilmu yang sejati. Aamiin.


*Nota: Untuk buku "Panduan Lengkap Menuntut Ilmu" dan buku-buku lain yang disyorkan untuk dibaca boleh dapatkan di fb Pustaka Bushra https://www.facebook.com/pustakabushra, instagram Atsar Ilmu sunnah https://www.instagram.com/atsar.online/?hl=en dan instagram Nikmat Ilmu https://www.instagram.com/nikmatilmu/?hl=en 



Wallahu ‘alam.




Penuntut Ilmu,
Intan Mohammadi,
Bukit Kiara.