Thursday, 1 February 2018

Congo Bar


Mahasuci Allah, Syurga sudah berhias
 untuk menyambut para pelamarnya,
Maka itu, bersungguh-sungguhlah kalian
dalam memperoleh maharnya.
(Ibnul Qoyyim, Fawaaidul Fawaaid)




Assalamualaikum sahabat semuanya. Diharapkan sentiasa dalam keadaan sihat, jasmani dan rohani. Diharapkan juga setiap urusan dan perancangan sahabat-sahabat dipermudahkan oleh Allah. Sentiasalah yakin, setiap perbuatan yang disandarkan dengan niat yang baik dan tulus pasti akan di balas dengan yang baik juga oleh Allah. Hadis nabi yang satu ini yang tidak asing lagi bagi kita malah sudah kita hafalkan, harus kita fahami dan perhatikannya dengan sebaiknya.

“Sesungguhnya amal-amal itu tergantung pada niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang akan memperoleh (dari Allah) sesuai dengan apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang hijrahnya kerana Allah dan RasulNya, maka (pahala) hijrahnya (dinilai) kerana Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang hijrahnya diniatkan untuk kepentingan harta dunia yang hendak dicapainya atau kerana seorang wanita yang hendak dinikahinya, maka hijrahnya menurut apa yang ia hijrah kepadanya.” (Muttafaqun ‘Alaihi)


Tapi, jangan lupa juga untuk meletakkan usaha yang sejajar dengan apa yang kita impikan. Besar impian, besar jugalah usaha yang harus kita keluarkan. Dan pastinya tanpa menafikan kekuasaan Allah untuk mengizinkan sesuatu buat hamba. Tawakkal adalah kunci utama untuk nantinya kita reda dengan segala ketentuan Allah, tidak terlalu bersedih hati seterusnya berputus asa sekiranya kegagalan yang datang. Dan tidak terlalu gembira dengan kenikmatan yang dikecapi sehingga lupa bahawa ianya adalah kebaikan dari Yang Maha Esa. Harus sahabat-sahabat ketahui yang tiada bahagia dan derita di dunia ini melainkan telah ditulis oleh Allah. Sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Hadid ayat 22 & 23 mafhumnya:

“Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri semuanya telah tertulis dalam Kitab (lauhul mahfuz) sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh yang demikian itu mudah bagi Allah.”
“Agar kamu tidak berduka cita terhadap apa yang luput darimu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu.”

Entry kali ni sebenarnya Ms Diamond nak kongsi resepi CONGO BAR. Ms Diamond pernah cuba resepi beberapa kali dan dukacitanya dimaklumkan bahawa ianya tidak menjadi. Tapi, alhamdulillah, resepi kali ni dengan sedikit olahan sesuai dengan jiwa Ms Diamond. Ye lah, nak cuba resepi pun kena rasa keserasian tu, baru menjadi. Dah bebel panjang kat atas tadi, kita tengok resepi terus je la ye.


Congo Bar with nutella. Yummy!!



Bahan-Bahan:

2 ¾ cawan tepung gandum
2 ½ sudu kecil baking powder
1 cawan butter *resepi asal 2/3 cawan
1 ¾ gula perang *resepi asal 2 cawan
3 biji telur
1 cawan choc chip   * Choc chip & almond nak letak seberapa banyak pun bisa aja
½ cawan almond nibs

Cara-Cara:

1. Ayak tepung dan baking powder
2. Pukul butter  dan gula menggunakan mixer
3. Masukkan telur satu per satu dan esen vanilla
4. Masukkan tepung kedalam adunan butter
5. Kacau rata adunan dengan kaedah kaup balik
6. Masukkan almond dan choc chip
7. Tuang adunan ke dalam loyang 10x10inch dan dilapikkan dengan baking paper
8. Sebagai hiasan, boleh taburkan almond/choc chip/choc button di atas.
9. Bakar selama 25 minit dengan suhu 160 celcius.
10. Siap dan tunggu sejuk dulu baru boleh potong dan makan. Tapi kalau dah tak sabar, makan panas-panas pun sedap jugak.

·         Soft reminder! Jangan meniup makanan atau minuman! Sunnah nabi untuk biarkan makanan sedikit sejuk dan tidak meniup makanan sebelum makan.



Selamat Mencuba!


Much Love,
Ms. Diamond,
Pandan Indah.

No comments:

Post a Comment