Tuesday, 27 March 2018

Wanita yang Taat dan Berilmu Pasti Dicintai!


Wanita,
kau bisa jadi fitnah terbesar buat sang pria,
 juga bisa jadi sebaik-baik perhiasan di dunia yang diciptakan Sang Pencipta,
Usahalah untuk menjadi yang kedua,
Berbekalkan ketegasan dan kelembutanmu,
Pasti engkau lebih mulia dari bidadari syurga.



Buat sahabat-sahabat muslimah, tanyakan pada diri kita wanita seperti apakah yang kita ingin bentuk diri kita? Setiap dari kita pastinya ingin menjadi wanita terhormat, dipandang mulia dan disanjung tinggi. Ingin menjadi wanita yang berkedudukan, berpendidikan tinggi, memberi manfaat kepada masyarakat dan lain-lain lagi. Di sebalik impian yang ‘gah’ itu, setiap wanita juga tidak lari dari mengimpikan untuk menjadi wanita solehah setidak-tidaknya buat suami tercinta, ibu yang baik buat anak-anaknya disamping tidak lupa untuk menjadi anak yang berbakti buat kedua orang tua. Tapi, sudahkah kita berilmu tentang seperti apa wanita solehah itu? Seperti mana acuan, begitulah kuihnya. Wanita muslimah harus mempersiapkan diri dengan ilmu agar tidak tersalah memilih acuan atau ‘model’ ikutan dalam perjalanan membentuk diri menjadi sosok wanita solehah yang nantinya menjadi ketua bidadari di syurga.



Syarat wanita untuk ke syurga adalah sangat mudah seperti yang disebut oleh nabi sallallahu ‘alaihi wasallam mafhumnya:

Apabila seorang wanita itu melaksanakan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, menjaga maruahnya dan taat kepada perintah suaminya (dalam hal yang ma’ruf), maka dia boleh memasuki syurga mengikut pintu yang mana ia suka.”- HR Ahmad.

Namun, wanita solehah tidak hanya berdiam dengan hanya melakukan yang wajib. Ditambah lagi dengan peringatan nabi kita bahawa ternyata lebih banyak wanita yang menjadi penghuni neraka. Justeru, penting buat sahabat muslimah untuk memperhatikan ibadah sunnah lainnya di samping menjaga ibadah yang wajib. Hal ini kerana Allah ta’ala berfirman di dalam hadis qudsi dari Abu Hurairah radiyallahu ‘anhu, ia berkata Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda mafhumnya:

“Sesungguhnya Allâh Azza wa Jalla berfirman, ’Barangsiapa memusuhi wali-Ku, sungguh Aku mengumumkan perang kepadanya. Tidaklah hamba-Ku mendekat kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai daripada hal-hal yang Aku wajibkan kepadanya. Hamba-Ku tidak henti-hentinya mendekat kepada-Ku dengan ibadah-ibadah sunnah hingga Aku mencintainya. Jika Aku telah mencintainya, Aku menjadi pendengarannya yang ia gunakan untuk mendengar, menjadi penglihatannya yang ia gunakan untuk melihat, menjadi tangannya yang ia gunakan untuk berbuat, dan menjadi kakinya yang ia gunakan untuk berjalan. Jika ia meminta kepada-Ku, Aku pasti memberinya. Dan jika ia meminta perlindungan kepadaku, Aku pasti melindunginya.’” – HR Bukhari, No. 6502.

Cinta Allah yang seharusnya para wanita raih terlebih dahulu, baru kemudian menyusul cinta yang lainnya. Bila cinta Allah telah kita dapatkan, cinta kepada pasangan, anak-anak dan lain-lain akan datang sesuai dengan cinta Allah kepada kita, insyaAllah. Justeru sahabat sekalian, dekatkan diri kita kepada Pencipta dengan amalan-amalan sunnah, seperti menjaga solat sunat rawatib, solat dhuha, tahajjud, puasa-puasa sunnah isnin khamis, membaca al-quran atau amalan-amalan lainnya yang sesuai dengan syariat yang dibawakan oleh nabi kita. Semua ini dilaksanakan dalam rangka untuk kita tetap taat kepada Dia Yang Maha Esa.



Pentingkah amalan-amalan sunnah? Ya, sangat penting! Ia adalah salah satu langkah untuk kita tetap pertahankan ketaatan kita kepada Rabb kerana iman itu terkadang meningkat terkadang menurun. Tatkala iman sedang meningkat, alhamdulillah, dipermudahkan buat kita untuk memperbanyakkan amal soleh, dan di saat iman berkurang, walau kita dalam keadaan futur, jika kita meninggalkan amalan sunnah yang kita amalkan, setidaknya kita masih memperhatikan dan menjaga yang wajib. Sebaliknya, jika kita hanya bergantung kepada amalan wajib sahaja, kemungkinan akan terjadi kita meninggalkannya saat berkurangnya iman. Nau’zubillahi min zalik!

Selain itu sahabat sekalian, jangan biarkan hari-harimu kosong tanpa ilmu kerana menuntut ilmu adalah jalan pintas menuju syurgaNya. Di dalam hadis nabi yang mulia disebutkan mafhumnya:

“Barangsiapa yang menempuh jalan menuntut ilmu, dimudahkan Allah jalan baginya menuju ke syurga.”- Hadith Sahih Riwayat Ahmad, Ibn Majah, Abu Daud, Ibn Majah, Ibn Hibban.



Menuntut ilmu adalah jalan pintas menuju ke syurga yang seharusnya wanita muslimah tidak ketinggalan dalam merebut peluang dan kesempatan yang ditawarkan. Yang paling utama tentunya menghadiri majlis-majlis ilmu. Ketahuilah sahabat sekalian, majlis ilmu mempunyai keutamaan yang sangat besar. Antaranya, majlis-majlis ilmu diibaratkan taman-taman syurga seperti sabda kekasih kita sallallahu ‘alaihi wasallam:

“Apabila kalian berjalan melewati taman-taman syurga, maka duduklah bersama mereka. Para sahabat bertanya, ‘Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan taman-taman syurga itu?’ Beliau sallallahu ‘alaihi wasallam menjawab, “majlis-majlis ilmu.” – Hadith Hasan Riwayat at-Tirmizi, No. 3510 & Ahmad, III/150.

Selain itu, disebutkan juga di dalam hadis nabi bahawa turunnya rahmat Allah di dalam majlis-majlis ilmu. Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda mafhumnya:

“Tidaklah sekelompok orang duduk di suatu tempat untuk berdzikir kepada Allah ‘azza wa jalla melainkan para malaikat akan meliputi mereka, rahmat menyelimuti mereka, ketenangan turun kepada mereka, dan Allah menyebut-nyebut mereka di hadapan para malaikat yang ada di sisi-Nya.” - HR. Muslim, No. 2700.



Namun, sekiranya tidak berkesempatan seperti keterbatasan waktu, terdapat banyak alternatif lain agar hati kita sentiasa terpaut dengan majlis-majlis ilmu. Di zaman sekarang yang serba moden dan canggih, banyak kajian-kajian di ‘youtube’, ada juga kajian ‘live’ yang boleh di ‘access’ dengan internet. Muslimah harus bijak memanfaatkan jalan yang ada dalam menuntut ilmu. Gantikan ‘playlist’ dalam ‘phone’ atau radio di kereta kita dengan rakaman-rakaman kuliah atau ayat-ayat suci Al-Quran untuk kita dengarkan saat pergi dan pulang kerja. Itu lebih bermanfaat dan berpahala insyaAllah. Sebagai muslimah yang baik, kita harus tahu bagaimana untuk memanfaatkan hari-hari kita agar tetap dalam redha dan rahmatNya. Tinggalkanlah perkara-perkara yang rendah, hina dan sia-sia. Pesan nabi yang satu ini harus kita ingat sentiasa. Dari Abu Hurairah radhiallahunhu dia berkata, Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda :

“Merupakan tanda baiknya Islam seseorang, dia meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat baginya.” – HR Ahmad, No. 1737.


Selain itu, muslimah harus akrab dengan kitab-kitab/buku-buku yang dapat menambahkan ilmu seterusnya meningkatkan takwa dirinya sebagai seorang muslimah. Ilmu apa yang harus kita utamakan dan tekankan? Yang terpenting semestinya ilmu tentang Allah, kuatkan akidah dan tauhid kita terlebih dahulu. Tanyakan diri kita sudah sejauh mana kita mengenal Rabb pencipta kita? Berlimu yang benar soal akidah sangat penting untuk nantinya kita mengenal perkara-perkara yang dapat menjerumuskan kepada syirik sama ada syirik besar mahupun kecil. Sudahkah kita mengenal siapa Tuhan yang kita sembah? Tuhan yang sangat indah dan sangat baik kepada kita. 

Seterusnya, ilmu fardhu ‘ain. Tentang solat dan puasa terutamanya, adakah sudah benar mengikuti nabi? Nabi sallallahu 'alaihi wasallam memberi pesan mafhumnya:

“Barangsiapa yang berbuat hal baru yang tiada perintahnya, maka ia tertolak” - HR Bukhari & Muslim.



Kedua-dua ilmu tentang Allah dan ilmu fardhu ‘ain ini sangat penting buat muslimah. Bukan sekadar buat diri sendiri, malah buat generasi yang akan datang apabila seorang wanita muslimah itu diberikan kurnia oleh Allah untuk menjadi seorang ibu. Sudah kita maklumi bahawa ibu merupakan ‘madrasatul ula’ (sekolah pertama) buat anak-anaknya. Telah banyak sejarah terlukis di mana orang-orang hebat, ulama-ulama besar lahir dari didikan seorang ibu yang merupakan sosok wanita muslimah yang hebat. Antaranya, ibunda Imam As-Syafie, Imam As-Sudais, ibunda Ibnul Mubarak (rahimahumullah) dan lain-lain. Sahabat sekalian harus menjadi sosok wanita yang besar jiwanya agar nanti lahirlah generasi yang juga mempunyai jiwa yang besar, memberi manfaat buat agama.



Seterusnya, penting juga buat wanita untuk mempelajari ilmu mengenai fikh wanita. Perbahasan tentang hukum-hukum khusus buat wanita seperti haidh, adab berpakaian dan pergaulan, ilmu tentang rumah tangga dan lain-lain. Tetaplah menjaga kehormatan diri sebagai muslimah tak kira di mana kita berada dan dalam keadaan apa sekali pun. Bacalah , fahami dan hayati pesan atau wasiat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam buat wanita terutamanya peringatan beliau tentang fitnah wanita. Antaranya sabda nabi sallallahu 'alaihi wasallam:


“Aku tidak meninggalkan satu fitnah pun yang lebih membahayakan para lelaki selain fitnah wanita.” - HR. Bukhari, No. 5096 & Muslim, No. 2740

“Sesungguhnya dunia ini begitu manis nan hijau. Dan Allah mempercayakan kalian untuk mengurusinya, Allah ingin melihat bagaimana perbuatan kalian. Karenanya jauhilah fitnah dunia dan jauhilah fitnah wanita, sebab sesungguhnya fitnah pertama kali di kalangan Bani Israil adalah masalah wanita” - HR. Muslim, No. 2742.

Apabila seorang wanita itu mempunyai ilmu tentang Rabbnya, mereka akan dilindungi dan tidak akan menjadi fitnah terbesar buat kaum lelaki malah menjadi sebaik-baik perhiasan di muka bumi ini, insyaAllah. 



Akhir kata, jadilah wanita solehah yang taat dan berilmu, wanita yang dicintai Allah! Kerana ketaatan dan ilmu adalah perisai ampuh yang melindungi maruah wanita muslimah.

Wallahu 'alam.


Love,
Intan Mohammadi,
Pandan Indah.

No comments:

Post a Comment