Friday, 16 March 2018

Akhlak Muslim Yang Sebenar


 "Jadilah pemaaf dan suruhlah orang yang mengerjakan yang ma'ruf, 
serta jangan pedulikan orang-orang yang bodoh."
(Al-A'raf: 199)


Tidak sedikit yang kita temukan dengan orang-orang yang buruk akhlaknya. Tidak sedikit juga orang-orang yang habblun minallah (hubungan dengan Allah) sangat baik. Dia lah orang yang sangat menjaga hak Allah. Bukan sekadar melakukan kewajipan yang wajib sahaja, malah di tambah dengan amalan-amalan sunnah lainnya. Orangnya rajin bersedekah, tetapi sayangnya, habblun minannas (hubungan sesama manusia) sangat buruk. Dia tidak memperhatikan akhlaknya di hadapan manusia lainnya. Bicaranya kasar serta menyakitkan hati. Dengan jiran tetangganya saling bermusuhan, dengan ibu bapa sering bertengkar, saudara semuslim yang lainnya dighibahi dan dicaci maki serta mudah bersu’zhon terhadap saudaranya. Na’uzubillahi min zalik! Ingatlah sahabat-sahabat akan sabda nabi kita yang mulia:

“Tidak ada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan (kebaikan) seorang mukmin pada hari kiamat daripada akhlak mulia. Dan Allah sangat membenci orang yang suka berkata keji lagi kotor.” - HR Tirmizi


Ya, akhlak yang mulia, bermanis muka sesama saudara, berbuat baik sesama makhluk lebih berat timbangannya dari amal ibadah. Sungguh, kesalahan besar bagi seorang Muslim yang memandang remeh terhadap masalah akhlak sementara dia begitu bersungguh melaksanakan amal-amal ibadah lainnya dengan harapan dapat mengaut pahala sebanyak-banyaknya. Ketahuilah, sesungguhnya nabi kita Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam diutuskan untuk menyempurnakan akhlak mulia.

Seperti mana ilmu boleh dipelajari, begitu juga akhlak mulia boleh dibentuk.

"العلم بالتعلم والحلم بالتحلم"

Justeru sahabat-sahabat, belajarlah untuk berakhlak mulia, latihlah diri kita untuk menuturkan kata-kata yang indah sahaja, membalas kejahatan dengan kebaikan serta berlemah lembut. Di samping itu, mohonlah dan berdoalah kepada Allah agar kita dikurniakan akhlak yang baik. Antara doa yang boleh kita amalkan adalah seperti:

اللهم احسني كما احسنت خلقك وأحسن خلقي كما احسنت خلقي
Allahumma ahsini kama ahsanta kholqika, wa ahsin khuluqi kama ahsanta kholqi - HR Abu Daud

Dan juga doa ini:

اللهم اهدني لاحسن الأخلاق ولا يهدي لأحسنها إلا انت واصرف عني سيء الأخلاق ولا يصرف عني سيىها إلا انث
Allahummahdini liahsanil akhlaq wala yahdi liahsaniha illa anta wasrif ‘anni sayyial akhlaq  wala yasrifu ‘anni sayyiaha illa anta - HR Ahmad, No. 803.

Selain itu sahabat-sahabat, kita harus berilmu terlebih dahulu sebelum beramal. Belajarlah dari hadis-hadis nabi tentang keutamaan-keutamaan akhlak mulia, kekasih kita Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam adalah sebaik-baik contoh untuk kita ikuti. Tiada apa yang lebih bermakna bagi yang mengakui mencintai nabi melainkan untuk mengikuti beliau sallallahu ‘alaihi wasallam termasuk dalam soal akhlak.


Ilmu dengan pemahaman yang benar adalah kunci segalanya. Dengan itu, buku ini boleh dijadikan panduan buat sahabat-sahabat. Buku yang berjudul AKTUALISASI AKHLAK MUSLIM” karya Abu Ihsan dan Ummu Ihsan, diterbitkan oleh Pustaka Imam As-Syafie. Buku tebal ini mengandungi 568 halaman dan merangkumi 5 bab kesemuanya.

Di dalam mukaddimah, dibincangkan beberapa point penting untuk pembaca mengenali akhlak mulia bermula dengan pengertian akhlak mulia, kedudukannya di dalam islam, faedah serta keutamaannya serta 4 pondasi akhlak mulia. Di samping itu, diperjelaskan juga antara tabiat dan kebiasaan akhlak mulia dimana akhlak mulia boleh jadi ianya adalah sifat semula jadi seseorang dan juga sifat yang dilatih. Seterusnya, 13 cara mencapai akhlak mulia yang merupakan perbahasan terpenting. Antara cara yang disebutkan di dalam buku ini adalah memperbaiki niat, memohon pertolongan daripada Allah dan menuntut ilmu.

Keikhlasan niat merupakan faktor penting yang mengantarkan seseorang untuk selalu berbuat kebaikan dan mengharapkan ridaNya, mendorongnya untuk memiliki peribadi yang penyabar, lapang dada, pemaaf dan berakhlak mulia. Semua itu diraih dalam rangka untuk mematuhi perintah Allah, mencari keridaanNya serta mengharapkan  kenikmatan akhirat. Sedangkan manfaat ilmu itu sangat besar. Dengan ilmu, kita akan ketahui bahawa akhlak mulia adalah ibadah dimana ada sejumlah aturan yang wajib dipelajari dan difahami agar seseorang tidak salah faham dalam menerapkan akhlak mulia dalam dirinya. Tanpa aturan tersebut, seseorang mungkin sahaja beranggapan telah berakhlak baik, padahal sejatinya dia telah berakhlak buruk.

Syeikh Musthafa al-Adawi rahimahullah mengatakan:

“Dalam urusan akhlak ada fiqh (aturan), seperti halnya dalam ibadah. Dalam keberanian ada aturan, dalam rasa malu terdapat aturan dan dalam kemurahan hati terdapat aturan. Setiap akhalak ada aturannya.”

Terkadang seseorang beranggapan dirinya pemberani, padahal sejatinya dia hanyalah seorang yang nekat dan berlebih-lebihan dalam perasaan. Ada orang yang merasa dirinya jujur dalam percakapan, padahal sejatinya dia suka menebar isu dan mengadu domba. Ada juga terlalu lembut dan terlalu merendah, padahal sejatinya dia sosok yang kalah, lemah lagi tidak berdaya.

Seterusnya, perbahasan buku ini terpecah menjadi 3 bahagian dimana bahagian pertama membicarakan tentang hablun minallah. 4 akhlak mulia kepada Allah (habblun minallah) iaitu ikhlas, muraqabah, takut kepada Allah dan tawakkal. 4 perkara ini sangat penting sebagai seorang muslim yang nantinya akan menentukan baik dan buruknya peribadi seseorang muslim itu.




Perbahasan kedua adalah akhlak mulia sesama manusia (hablun minannas). Antara akhlak yang dijelaskan di dalam bab ini adalah kasih sayang, bersihkan hati dari hasad, lemah lembut, murah hati dan suka membantu, murah senyuman dan bertutur santun, menjaga lisan, amanah, menepati janji, adil, mudah memafkan dan saling menasihati.

Perbahasan ini sangat baik di mana kita akan mengoreksi diri, kelemahan-kelemahan yang harus kita muhasabah dan perbaiki segera! Antara sub-topik yang menarik untuk dikongsikan adalah tentang menjaga lisan. Terdapat dua petaka besar pada lisan apabila seseorang keliru dalam bersikap. Pertama, mengumbar perkataan untuk kebatilan dan kedua, diam dari mengatakan kebenaran. Seorang penyair mengatakan:

Seseorang bisa binasa kerana lisannya,
Padahal ia mampu menjaga kakinya dari dosa
Kebinasaan kerana lisan dapat memutus kepala
Kebinasaan kerana kaki akan sembuh sekejap sahaja


Ibnu Buraidah berkata:

“Oh lidah, celaka kamu! Ucapkanlah yang baik agar kamu beruntung atau diamlah agar kamu selamat. Kalau tidak, kamu pasti akan menyesal.”


Seterusnya, perbahasan mengenai akhlak yang mencakupi terhadap Allah dan sesama manusia (hablun minallah wa hablun minannas). Antaranya ialah ihsan, dimana setiap muslim dianjurkan untuk membalas ihsan Allah dengan ihsan, berlaku ihsan terhadap diri sendiri, orang tua, kaum kerabat, suami atau isteri, jiran tetangga, orang bukan islam dan tidak terkecuali untuk berlaku ihsan kepada alam. Selain itu, antara akhlak yang berkaitan dengan hablun minallah, hablun minannas lainnya adalah seperti tawadhu’, kuat dan berani, zuhud, wara’, malu, istiqomah, jujur dan husnuzhon. 

Dikongsikan satu contoh perbahasan sub-topik buku ini iaitu husnuzhon. Muslim sejati harus bersangka baik terhadap Allah dan juga kepada saudaranya. Berbaik sangka kepada Allah adalah merupakan nikmat yang sangat bernilai kerana Allah akan mengikut persangkaan hamba terhadapNya. Dalam sebuah hadis qudsi, Allah berfirman mafhumnya:

“Aku memperlakukan hamba sesuai sangkaanya terhadap-Ku, dan Aku akan bersamanya saat ia mengingatiKu. Jika ia mengingat diriKu dalam dalamnya (pada saat dia bersendirian), Aku akan mengingatnya dalam diriKu. Jika ia megingatKu dalam satu perkumpulan, Aku akan mengingatNya dalam perkumpulan yang lebih baik daripadanya, Jika ia mendekat kepadaKu sejengkal, Aku akan mendekat kepadanya sehasta. Jika ia mendekat kepdaKu sehasta, Aku akan mendekat kepadanya sedepa. Jika ia mendatangiKu dengan berjalan, Aku akan mendatanginya dengan berlari.”-HR Bukhari & Muslim.


Tidak sekadar hanya tertumpu kepada husnuzhon kepada Pencipta, muslim sejati juga adalah orang yang sentiasa bersangka baik terhadap saudaranya. Hal ini adalah penting untuk menjaga ukhuwwah islamiyyah dan dengan bersangka baik inilah pintu-pintu kebaikan semakin terbuka lebar buat kita. Allah juga melarang kita untuk berprasangka buruk dimana Dia berfirman:

“…Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah ada di antara kamu yang menggunjing sebahagian yang lain.” – Al-Hujurat, 12.

Ketiga-tiga bab ini di isi dengan perbahasan yang sangat padat serta dalil-dalil sahih dari Al-Quran dan As-Sunnah. Pembaca pasti dapat menghayati keindahan akhlak sebenar seorang muslim dan tajuk buku yang diberi “AKTUALISASI AKHLAK MUSLIM” memang sangat tepat menggambarkan perbahasan yang ada di dalam buku ini.

Sebagai penutup, beradab dan berakhlak kepada Allah dengan memperkuat hubungan kepada Allah iaitu dengan memperkuat takwa kepadaNya serta mempertebalkan rasa takut kepadaNya. Seperti yang dikatakan oleh imam Ahmad:

“Dasar ilmu adalah rasa takut kepada Allah.”

Kemudian memperbaiki mu’amalah kepada manusia. Kuncinya terangkum dalam sabda nabi:

وانظر ما تحب من الناس أن يأتوه إليك فافعله بهم وما كرهت أن يأتوه إليك فذرهم منه
“Perhatikanlah apa-apa yang engkau suka orang lain melakukannya terhadapmu, maka lakukanlah hal itu terhadap mereka. Dan perhatikanlah apa-apa yang engkau tidak suka mereka melakukannya kepadamu, maka janganlah engkau melakukannya kepada mereka.”- Silsilah Ahaduth Sahihah, No. 3508.

Wallahu ‘Alam.

Semoga Bermanfaat!

p/s: kredit gambar: Google Image.

Love,
Intan Mohammadi,
Pandan Indah

No comments:

Post a Comment