Tuesday, 26 February 2019

‘Countdown’ Ramadan – Persiapan Menyambut Ramadan

Layaknya pandangan mata nabi Ya’qub yang terbebas dari kebutaan
kerana mencium aroma baju nabi Yusuf,
seorang pendosa juga akan terbuka mata hatinya
ketika mencium aroma Ramadan.




Tidak lama lagi, umat islam akan bertemu dengan bulan yang mulia iaitu Ramadan. Bulan yang penuh rahmat dan bulan pengampunan. Di bulan ini bukan sahaja syaitan dibelenggu, malah pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup. Rasulullah sallalahu ‘alaihi wasallam bersabda mafhumnya:

“Pada malam pertama Ramadan setan-setan dan jin yang ingkar dibelenggu, pintu-pintu neraka ditutup, tiada satu pun pintu yang terbuka da nada penyeru yang berseru, ‘Wahai pencari kebaikan, kemarilah. Wahai pencuri keburukan, kembalilah.’ “ – HR Tirmidzi, No. 682. Dinyatakan sahih oleh Al-Albani dalam kitab Sahih Al-Jami’.

Ramadan adalah tetamu yang mulia buat orang beriman. Dan selayaknya orang-orang beriman untuk membuat persiapan bagi menyambut kedatangan bulan ini. Rasulullah sallalahu ‘alaihi wasallam bersabda mafhumnya:

“Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kerana iman dan mengharapkan pahala (dari Allah) maka diampuni dosanya yang telah lalu.” – Muttafaq ‘alaihi.

Justeru, bagaimana kita harus bersikap atau bagaimana kita mempersiapkan diri untuk menyambut kedatangan Ramadan? Berikut adalah beberapa perkara yang harus kita lakukan jika kita benar-benar ingin menyambut bulan mulia ini dengan penuh keimanan seterusnya mengharapkan pahala dari Allah Ta’ala.

Persiapan Menyambut Ramadan

Memperbaharui Taubat

Kewajipan pertama untuk persiapan Ramadan adalah taubat. Semoga kita dikurniakan Allah taubat nasuha agar Dia redha kepada kita. Sesungguhnya taubat itu adalah kewajipan buat muslim di setiap masa. Taubat di sini mencakupi skop yang luas lebih dari yang kita fahami selama ini di mana ia mencakup taubat zahir dan batin. Antaranya adalah taubat dari bentuk kehidupan yang kita jalani saat ini, taubat dari menyia-nyiakan waktu dan taubat dari sifat malas, taubat dari pola fikir kita miliki serta taubat hati dan taubat dari panjang angan-angan.

Melatih Diri Untuk Enggan Kepada Kemaksiatan

Secara fitrah, hati manusia membenci kemaksiatan. Tetapi sebagaimana diketahui fitrah boleh berubah-ubah. Oleh yang demikian, sebelum tibanya Ramadan, kita harus berusaha untuk mengembalikan fitrah ini kedalam hati bila ia telah hilang atau memperkuatnya bila telah melemah.

Tekad yang Tinggi Diimbangi Dengan Amal Nyata

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda mafhumnya:

“Sekiranya keimanan itu ada di bintang soraya, tentu banyak yang bisa menggapainya.” – Muttafaqun ‘alaihi

Ibnul Qoyyim rahumahullah berkata, “Memperoleh kedudukan tertinggi berkaitan erat dengan tekad yang tinggi dan niat yang benar.” Berbicara itu mudah, seringkali kita terpedaya oleh angan-angan. Tetapi, bilakah kita mampu memberikan amal nyata? Seharusnya waktu-waktu seperti ini, waktu menghampirinya Ramadan, kita wujudkan latihan untuk memperkuatkan tekad agar kita memasuki bulan mulia tersebut dengan tekad yang tinggi.

Dikisahkan bahawa Abu Muslim Al-Khaulani menggantung cemeti di masjid rumahnya unutk mendidik jiwanya, Ketika kakinya enggan unutk berdiri, ia memukulnya dengan cemeti tersebut lalu berkata, “Berdirilah, demi Allah aku akan menarikmu kuat-kuat. Kerana keletihan itu datang darimu (kaki), bukan dariku.”

Abu Darda’ berkata kepada Shubaih, “Wahai Shubaih, biasakanlah dirimu dengan ibadah. Ibadah itu mempunyai kebiasaan, bahawasanya tidak ada di atas bumi ini sesuatu yang merasa keberatan menjalankan ibadah selain orang kafir.”

Ya, seharusnya kita membuat persiapan sebenar-benarnya; persiapan praktis sebelum Ramadan datang. Harus ada latihan-latihan untuk memperkuat tekad. Sebagai contoh, persiapkanlah satu malam sebagai malam sujud. Habiskanlah malam itu untuk sujud yang panjang disertai ketundukan, tangisan, rasa harap dan takut. Persiapkan pula satu malam untuk membaca dan mengulang-ulang satu ayat saja, menangis dan merenungkannya sampai pagi.

Mohonlah pertolongan kepada Allah Ta’ala, jangan kita lemah. Ketahuilah bahawa kemenangan itu datang bersama kesabaran, kebahagiaan itu ada bersama kesulitan, bahawasanya setelah kesukaran ada kemudahan.


Rujukan: Panduan Lengkap Ibadah Ramadhan, Muhammad Husain Ya’qub, 2009, Insan Kamil. 

Link review buku boleh baca di sini PANDUAN LENGKAP IBADAH RAMADHAN



Wallahu ‘Alam,
Semoga bertemu di ‘entry’ berikutnya jika diizinkan Allah.




Love,
Intan Mohammadi,
Rembau, Negeri Sembilan.

No comments:

Post a Comment