Monday, 20 August 2018

Ikan Keli Salai Masak Lemak Cili Api Dengan Rebung dan Petai!


Seorang Penyair berkata:
Jangan kau minta kepada makhluk,
Yang bila kau minta, dia marah.
Mintalah kepada pemilik makhluk,
Yang bila kau tidak meminta, Dia marah.





Kehidupan adalah penantian. Penantian yang terbesar adalah di Hari Akhir nanti sama ada kita tergolong dalam golongan kanan ataupun golongan kiri. Ya, memang itu tujuan hidup kita, kita akan pulang kepada Rabb kita di mana bumi ini akan hancur, yang tinggal antara syurga dan neraka. Semoga kita selamat dari azab api neraka dan selamat pulang ke kampung halaman kita yang sebenar iaitu syurga.

Sementara menanti penantian yang satu itu, terdapat banyak lagi penantian yang singgah di dalam kehidupan di dunia ini. Antaranya menanti jodoh yang terbaik, pernikahan yang membahagiakan, zuriat yang soleh dan solehah, kesembuhan dari penyakit yang dideritai bertahun lama atau usaha yang ditaruhkan selama ini membuahkan hasil.  Semua dari itu yang pasti adalah satu penantian dikabulkannya doa tulus seorang hamba oleh Ilah yang dia ibadahi.

Walaubagaimanapun, tidak semua orang diilhamkan untuk berdoa. Tidak sedikit di antara kita lebih memilih untuk menyandarkan setiap perkara atas usaha sendiri, atau kita jadikan doa sebagai  jalan terakhir. Maka beruntunglah bagi sesiapa yang Allah ilhamkan buatnya untuk sentiasa berdoa, tidak kira di waktu susah mahupun senang. Ulama salaf ada menyebutkan:

“Aku lebih khawatir aku tidak diberikan taufik untuk berdoa  daripada doaku tidak diterima oleh Allah swt.”

Bagi yang berdoa sudah semestinya ia mengimani firman Allah ‘azza wa jalla:

Dan Tuhan kamu berfirman: ‘Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.’” – Ghafir, 60.

Ketahuilah, Allah pasti kabulkan setiap doa kita! Kerana Allah sangat jauh dari sifat munafik, bukan seperti manusia. Tetapi jangan dilupakan sifat Allah Al-‘Alim dan Al-Khobir, yang maha mengetahui segala sesuatu. Ingatlah, ilmu Allah tidak sesempit ilmu kita. Ilmu Allah sungguh luas!

Sesungguhnya, Allah punya cara dalam mengabulkan setiap doa dari hambaNya. Iaitu melalui salah satu drpda 3 perkara:

1. Allah mengabulkan apa yang kita inginkan. Contoh; kita minta rumah, Allah akan berikan, dsb.

2. Allah palingkan kita dari musibah dan bencana yang seharusnya menimpa kita.

3. Allah tidak berikan apa yang kita minta, tapi Allah berikan di akhirat nanti, berupa pahala dan ganjaran yang lebih baik. Contoh; kita minta rumah tapi sepanjang hidup kita terus menyewa, tapi Allah bangunkan istana di syurga buat kita. Oleh itu, tahanlah lisan kita untuk tidak mengungkit-ungkit doa yang telah kita panjatkan. Kerana sudah tentu kita tidak inginkan menjadi hamba muflis di dunia dan di akhirat!.  





Semoga kita sentiasa diilhamkan untuk berdoa, baik untuk kebaikan di dunia mahupun di akhirat. Dan semoga doa kita diterima sebagai ibadah yang terbaik. Aamiin Ya Rabbal ‘Alamin.

Kembali kepada tajuk ‘entry’, masak lemak cili api sememangnya sedap dan amat menyelerakan. Lebih-lebih lagi daging salai masak lemak cili api, sampai tak sedar nasi bertambah! Kalau nak dikira variasi masak lemak cili api ni memang banyak. Ayam masak lemak cili api, ikan siakap masak lemak cili api dengan peria, (favourite ms diamond) telur itik masak lemak cili api dengan belimbing buluh, (favourite abah) daging salai, ikan keli dan burung puyuh salai masak lemak cili api. Setiap jenis masak lemak ada cara yang berbeza serta bahan yang sedikit berbeza selain daripada bahan asas untuk memasak masak lemak  ni. Untuk entry kali ini, ms diamond nak berkongsi resepi dan cara memasak IKAN KELI SALAI MASAK LEMAK CILI API DENGAN REBUNG DAN PETAI. Panjang namanya. Yang istimewanya resepi ini adalah, ia resepi mak ms diamond, turun temurun dari nenek yang sememangnya orang jati negeri Sembilan. InsyaAllah jika ada kesempatan, ms diamond akan berkongsi resepi masak lemak cili api yang lain pula. Ok, jom kita tengok resepi. 





Bahan-Bahan Salai:


10 ekor ikan keli
*Cili kering
*Cili api
*Kunyit hidup


Bahan-Bahan Masak Lemak Cili Api:


Santan (2 biji kelapa)
Rebung (secukupnya)
Petai (secukupmya)
*Kunyit hidup
*Cili api
*Cili kering
Asam keping (1 keping)
Garam kasar


Bahan bertanda * di blend asing setiap satu.

p/s: selalu mak ms diamond memang dah siap blend ketiga-tiga bahan dan simpan di dalam peti sejuk beku. Memudahkan kerja setiap kali nak masak.


Cara-Cara:


1. Bersihkan ikan keli, hilangkan bau hanyir ikan dengan air perahan limau atau asam jawa.

2. Blendkan cili kering, cili api dan kunyit hidup.

3. Perapkan ikan keli dengan cili kering, cili api & kunyit yang telah diblend. Salai ikan di atas api. 

*kaedah bakar menggunakan dapur kayu/ dapur arang lebih sedap berbanding bakar di dalam oven atau kaedah moden. 




Ikan keli yang telah siap di salai


4. Untuk petai, jangan dibuang kulitnya, hanya kikis kulit dan buang bahagian tepi petai sahaja, sama seperti jika ingin buat petai jeruk. Rendam petai di dalam air dan garam seketika.

5. Perah santan dan asingkan kepada pati santan dan santan cair. 

*kalau nak masakan lebih sedap, lebih baik gunakan santan yang kita perah sendiri berbanding guna santan kotak. kalau santan segar dibeli di kedai boleh juga, cuma tak dapat nak asingkan pati santan dan santan cair. 
*perahan pertama adalah pati santan manakala perahan kedua dan ketiga adalah santan cair. 


6. Di dalam periuk, masak santan bukan pati bersama 2 sudu besar cili kering, 4 sudu besar cili api & 1 sudu besar kunyit. Biarkan mendidih.

*cara mak ms diamond masak memang tak ada sukatan berapa sudu, ikut hati dan rasa. Kalau nak pedas, lebihkan cili api dan kalau inginkan warna kuah lebih pekat, boleh lebihkan kunyit.



Santan cair + cili kering + cili api
+ kunyit yang telah di blend


7. Masukkan santan pati, rebung dan asam keping.

*kalau tak mau masukkan petai, tidak perlu asam keping

8. Masukkan petai dan biarkan ia masak seketika.

9. Setelah mendidih, masukkan ikan keli yang telah disalai dan perasakan dengan garam.


Setelah petai dan rebung
masak, masukkan
ikan keli

10. Masak ikan seketika dan siap dihidang!.




p/s: untuk ikan keli salai masak lemak, sebaiknya santan dimasak terlebih dahulu, ikan dimasukkan terakhir sekali kerana ‘texture’ ikan keli salai yang agak lembut akan menyebabkan ikan jadi hancur dalam proses memasak santan.
Dan untuk masak lemak cili api orang nogori memang tidak gunakan bawang merah dan putih sama sekali!



Love,
Ms Diamond,
Rembau, Negeri Sembilan.

2 comments: