Thursday, 9 August 2018

Makcik Kerepek Di Sebuah Kedai Makan Daerah Tanjung Malim







Bukan menjadi kebiasaan Shara untuk lepak beramai-ramai di kedai makan. Tambahan lagi bersama yang berlainan jantina. Walaupun Shara bukanlah seorang gadis yang  baik apatah lagi alim, dia berusaha menjaga diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat pada dirinya. Malam itu, Shara terpaksa akur ajakan kawan sebilik untuk keluar minum bersama kawan yang lain. Memikirkan kepentingan untuk meluaskan networking demi kerjaya yang baru dibinanya, Shara dan beberapa rakan kursus yang lain menuju ke sebuah kedai makan biasa di pekan Tanjung Malim. Oh ya, Shara sedang berkursus selama dua minggu di situ.

Sampai sahaja di kedai makan, masing-masing memenuhi ruang di perkarangan luar kedai makan tersebut. Di tepi itu juga ditempatkan beberapa gerai kecil lagi yang menawarkan beberapa menu yang menarik perhatian serta menambahkan lagi pilihan kepada pengunjung. Malam itu nampaknya agak ramai pelanggan memenuhi ruang makan di dalam kedai. Melihat kawan-kawan Shara yang ramai berkerumun di luar sambil mencari-cari tempat yang sesuai untuk duduk, seorang makcik tua datang menghampiri. Shara memerhatikan makcik itu dari luar klinik bersebelahan kedai makan itu. Sengaja Shara berdiri jauh sedikit sambil yang lain buat keputusan untuk memilih tempat duduk. Sementara itu, kawan sebilik Shara masuk ke dalam klinik tersebut untuk bertanya sesuatu di kaunter. Urusan apa pun Shara tidak tahu. 

Dari luar klinik, Shara leka melihat makcik tersebut. Mengikut perkiraan Shara, makcik itu dalam lingkungan 60an umurnya. Dia membimbit dua beg plastik besar berwana merah jambu di tangan kanan dan kirinya. Lalu, makcik itu bertanya secara rawak kepada kawan-kawan Shara yang ralit memikirkan lokasi untuk set-up meja.

“Nak beli kerepek?” sapa makcik dengan lembut.

Sapaan makcik tidak diendahkan. Kawan-kawan Shara sudah mula mengambil meja untuk disusun di balkoni. Makcik itu kelihatan mundar-mandir sepertinya hilang cara setelah percubaan untuk menjual kerepeknya kelihatan gagal. Shara masih berdiri diluar klinik menunggu kawannya. Sedikit kecewa perasaan Shara ketika itu melihat seorang yang lebih tua dan lemah tidak dilayan dengan sepatutnya. Tidak putus asa, makcik tua itu menunggu sehingga meja selesai disusun. Setelah masing-masing mengambil tempat duduk makcik sekali lagi mendekati sekumpulan kawan yang rancak berborak.

“Dik, beli kerepek..” makcik berkata ringkas sambil mengeluarkan kerepek yang ada dengan perlahan. 

Kawan-kawan Shara terus berbual tidak menghiraukan kerepek yang satu-satu dikeluarkan dari plastik yang kemudiannya diletakkan di atas meja. Menyedari tiada respon yang baik dari teman-temannya, Shara menghampiri makcik tersebut,

“Makcik, kawan-kawan saya tak nak beli kerepek,” sambil membantu makcik tersebut
memasukkan semula kerepek ke dalam beg.

“Adik, nak beli kerepek?” Tanya makcik itu lagi. 

Shara tiada jawapan, di dalam hatinya memikirkan dia hanya ada RM10 sahaja di dalam dompet. Shara terus memberikan RM5 kepada makcik tersebut. Baki RM5 lagi untuk dia bayar untuk makan malamnya sebentar nanti. Makcik itu terus menerima wang tersebut dan bertanya,

 “Kenapa adik tak nak beli kerepek?”. Shara diam tiada jawapan.

Shara membiarkan persoalan makcik itu berlalu sahaja dan terus memasukkan semula kerepek-kerepek. 

“Makcik dah makan?” Tanya Shara mengambil peduli keadaan makcik.

“Makcik nak beli ubi kentang di kedai depan sana.” Kelihatan raut makcik sedikit sedih kerana tiada siapa yang ingin membeli jualannya. 

“Hati-hati makcik.” sempat Shara memberi pesan kepada makcik tersebut. Makcik itu pun melangkah pergi.

Shara mengambil tempat duduknya kembali sambil melihat makcik itu berlalu pergi. Shara sedikit terkilan kerana tidak dapat banyak membantu makcik itu kerana dia tidak mempunyai wang yang banyak di dalam dompetnya ketika itu. Sempat juga Shara berdoa semoga makcik itu dimurahkan rezeki dan semoga ada hamba Allah yang lebih baik yang Allah kirimkan untuk membantunya.

Shara terfikir dan bersyukur yang selama ini dia masih mempunyai duit untuk digunakan untuk keperluan dirinya, sedangkan masih ramai lagi yang memerlukan. Dalam setiap rezeki yang kita dapat, ada hak buat insan seperti ‘makcik kerepek’ tersebut. Shara cuba berjanji untuk lebih berhemah dalam berbelanja walapun dirinya bukanlah seorang yang pemboros. Dan dia juga cuba untuk sentiasa sediakan lebihan wang di dalam dompetnya agar dapat dimanfaatkan buat mereka yang lebih memerlukan pada bila-bila masa.


………………………………………………………………



"Boleh jadi saat engkau tidur terlelap, pintu pintu langit sedang diketuk oleh puluhan doa kebaikan untukmu, dari seorang fakir yang telah engkau tolong, atau dari orang kelaparan yang telah engkau beri makan, atau dari seorang yang sedih yang telah engkau bahagiakannya, atau dari seorang yang berpapasan denganmu yang telah engkau lapangkan.. maka janganlah engkau sekali kali meremehkan sebuah kebaikan.” 
[Ibnu Qayyim Al Jauziyah, Kitab Miftah Daaris As Sa'aadah]




Intan Mohammadi,
Rembau, Negeri Sembilan. 

No comments:

Post a Comment