,Duhai Muslimah
!Waktu Haidh dan Nifasmu Bukanlah Waktu Cuti Daripada Beribadah
Saudariku Muslimah!
Sedarilah waktu haid dan nifasmu bukanlah waktu cuti daripada beribadah! Kerana
hakikatnya kita diciptakan untuk terus
beribadah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala sehingga ajal datang menjemput
sepertimana yang terkandung pada Firman Allah:
واعبد ربك حتى يأتيك اليقين
"Dan sembahlah Tuhanmu sehingga datang kepadamu kematian." (Al-Hijr: 99)
Kebanyakan muslimah
menyangka bahawa masa haid dan nifas adalah masa cuti daripada beribadah kerana
kekeliruan dan kejahilan mereka tentang perkara yang dibenarkan dan dilarang
oleh syariat Islam untuk diamalkan pada waktu tersebut. Oleh itu, pada entry
kali ini, akan saya kongsikan beberapa amalan yang dipetik dari buku karangan
Ummu Ihsan & Abu Ihsan yang berjudul "BEKAL MUSLIMAH KETIKA HAIDH DAN NIFAS", yang dapat diamalkan agar
hari-hari yang dilalui ketika uzur syarie tersebut, terpenuhi dengan amal soleh
yang secara tidak langsung sebagai perlindung daripada bisikan dan godaan
syaitan. Di samping kita dapat merasakan kedekatan diri kepada Allah Ta’ala
yang akan menghantarkan kita ke syurga-Nya. InsyaAllah.
BEKAL – BEKAL UNTUK
MENGISI WAKTU HAID DAN NIFAS
1. MEMPERBANYAKKAN
ZIKRULLAH DALAM SETIAP KEADAAAN.
Wahai saudariku,
zikrullah termasuk ibadah yang agung kedudukannya di sisi Allah ‘Azza wa Jalla.
Dan Allah menjanjikan pahala yang sangat besar bagi sesiapa sahaja yang
mengamalkannya. Zikir tersebut dapat menjadi penutup ataupun penampung bagi
kekurangan dalam berbagai ibadah. Sebagai penutup kekurangan di dalam solat
malam dan puasa di siang hari. Selain itu, zikir juga merupakan amalan yang
paling agung untuk mendekatkan diri kepada Allah ‘Azza wa Jalla dan termasuk
amalan yang dapat menjadikan seorang muslim sentiasa bersama Allah ‘Azza wa
Jalla. Hal ini sebagaimana yang disebutkan di dalam sebuah hadis qudsi, Allah
‘Azza wa Jalla berfirman:
أَنَا عِنْدَ ظَنِّي عَبْدِ بِيْ وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِيْ
“Aku
menurut persangkaan hamba-Ku dan Aku sentiasa bersamanya bila dia
mengingati-Ku.” (HR. al-Bukhari)
ANTARA
ZIKIR-ZIKIR MA’TSUR YANG DAPAT DIAMALKAN IALAH:
-
لا
إله إلا الله
Berdasarkan sabda
Rasulullah ﷺ:
“Perbanyakkanlah membaca syahadahلا
إله إلا الله sebelum kalian terhalang daripada mengucapkannya.” (HR. Abu
Ya’laa)
- سبحان
الله، الحمد لله، لا إله إلا الله، الله أكبر
Berdasarkan sabda Rasulullah ﷺ:
لَأَنْ أَقُوْلَ سُبْحَانَ اللهِ وَالحَمْدُ لِلهِ وَلَا إِلَهَ
إِلَّا اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا طَلَعَتْ عَلَيْهِ الشَّمْسُ
“Aku mengucapkan
Subhanallah, Alhamdulillah, Laa ilaaha illallah, Allahu Akbar, lebih aku sukai daripada
terbitnya matahari.” (HR.
Muslim)
-
سبحان
الله وبحمده
Berdasarkan sabda Rasulullah ﷺ:
مَنْ قَالَ سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ
فِي يَوْمٍ مِائَةَ مَرَّةٍ حَطَّتْ خَطَايَاهُ وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ
“Barangsiapa membaca Subhanallahi
wabihamdihi seratus kali sehari nescaya akan diampunkan dosa-dosanya meskipun
sebanyak buih di lautan.” (Muttafaqun ‘alaihi)
-
أذكار
الصباح والمساء
Zikir pagi dan petang seperti yang terdapat di
dalam Hisnul Muslim dan pelbagai lagi lafaz zikir yang tsabit dari as Sunnah.
|
Sumber: Pustaka Bushra Boleh dapatkan buku zikir ini di Pustaka Bushra |
- Boleh juga download app Hisnul Muslim di Play Store atau Apple Store.
2.
ISTIGHFAR
Wahai saudariku, barangkali sudah tidak terhitung
dosa dan kesalahan yang telah kita lakukan pada masa lalu. Salah satu cara
untuk memperbaiki masa lalu yang suram tersebut adalah dengan memperbanyakkan
istighfar.
Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:
وأن استغفروا ربكم ثم توبوا إليه
“Dan
hendaklah kalian meminta ampun kepada Rabb kalian dan bertaubat kepada–Nya.” (Hud: 10)
Rasulullah ﷺ juga secara khusus memerintahkan agar kaum
wanita memperbanyakkan istighfar, Baginda bersabda:
“Wahai
kaum wanita, bersedekahlah kalian dan perbanyakkanlah istighfar, ini kerana aku
melihat kebanyakan penghuni neraka adalah kalian.”
Salah seorang wanita bertubuh besar bertanya: “Mengapa
kebanyakan daripada kami sebagai penghuni neraka?” Baginda menjawab:
“Kerana kalian banyak melaknat dan tidak bersyukur
kepada suami. Aku tidak melihat orang-orang yang kurang akal dan agamanya yang
lebih dapat menaklukkan seorang lelaki yang berakal daripada kalian.” (Hadis riwayat Muslim).
Jadi saudariku muslimah, manfaatkan waktu uzurmu
sebaiknya dengan memenuhi hari-hari kalian dengan beristighfar kepada Allah.
3.
TILAWAH AL-QURAN
Rasulullah ﷺ bersabda:
اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ
شَافِعٌ لِأَصْحَابِهِ يَوْمَ الًقِيَامَةِ اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ
الْبَقَرَةَ وَآلَ عِمْرَانَ فَإِنَّهُمَا يَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ أَوْ كَأَنّهُمَا
فُرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ يُحَاجَّانِ عَنْ أَهْلِهِمَا ثُمَّ قَالَ
اقْرَءُوا الْبَقَرَةَ فَإِنَّ أَخَذْهَا بَرَكَةٌ وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ وَلَا
يَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ .
“Bacalahal-Quran kerana sesungguhnya ia akan memberi syafaat
bagi pembacanya pada hari kiamat kelak. Dan bacalah Az-Zahrawain, iaitu surah
al-Baqarah dan Ali ‘Imran. Ini kerana kedua-dua surah itu akan datang pada hari
kiamat, seolah-olah kedua-duanya adalah bagaikan segerombolan awan atau
bagaikan dua bentuk payung yang menaungi atau bagaikan dua kelompok burung yang
mengembang sayapnya. Keduanya akan berhujah untuk membela pembacanya pada hari
kiamat. Dan bacalah olehmu akan surah al-Baqarah kerana sesungguhnya
mengambilnya adalah keberkatan, meninggalkannya adalah kerugian dan sihir tidak
akan mampu menghadapinya.” (HR. Imam Ahmad)
Wahai saudariku Muslimah, membaca al-Quran yang
disertai dengan tadabbur adalah amal yang sangat agung dan besar manfaatnya.
Ini kerana al-Quran adalah petunjuk, ubat penawar, hidayah dan rahmat bagi
orang yang beriman.
4.
BERDOA
Doa adalah senjata kaum mukminin. Hampir seluruh
aktiviti kehidupan seorang muslim tidak lepas daripada doa. Tidak terkecuali
bagi wanita-wanita yang sedang haid. Dia mesti memperbanyakkan berdoa kepada
Allah, memohon ke’afiatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat, memohon
keistiqamahan di atas agamanya dan memohon semoga diberi keteguhan hati di atas
kebenaran dan ketaatan.
Diriwayatkan daripada Syahr bin Hausyab radhiallahu
‘anhu, dia berkata: “Aku bertanya kepada Ummu Salamah: “Ya Ummu Salamah doa
apa yang selalu diucapkan oleh Rasulullah ﷺ ketika baginda berada di
rumahmu?” Ummu Salamah
radhiallahu ‘anha berkata: “Doa yang paling sering baginda baca adalah:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ
“Ya muqallibal qulub tsabbit qalbi ‘ala diinika (Wahai zat yang
membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu.)” (Hadis riwayat At-Tirmidzi dan dia berkata hadis
ini hasan dan disahihkan oleh al-Albani dalam sahih Jami’ at-Tirmizi)
Diriwayatkan daripada Anas radhiallahu ‘anhu bahawa
doa yang banyak dibaca oleh Rasulullah ﷺ adalah:
اللَّهُمَّ
آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
“Ya Allah berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat
dan peliharalah kami dari azab neraka.” (Muttafaqun ‘alaihi)
5.
MENUNTUT ILMU
Menuntut ilmu merupakan kewajipan bagi setiap
muslim dan muslimah. Menuntut ilmu merupakan jalan menuju ke syurga dan tanda
kebaikan seorang insan. Rasulullah ﷺ
bersabda:
مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ
فِي الدِّينَ
“Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan pada dirinya maka
Allah akan memberinya kefahaman di dalam agama.” (Muttafaqun ‘alaihi)
Banyak sekali wasilah ilmu yang boleh kita tempuh pada hari ini, yang
paling utama adalah menghadiri majlis-majlis ilmu. Kemudian membaca
buku-buku agama yang bermanfaat atau mendengar kaset atau cd ceramah tentang
masalah-masalah aqidah, ibadah dan permasalahan yang berkaitan fiqh wanita.
Di dalam perkara ini, tidak mengapa jika seorang muslimah yang mengalami
haid mendatangi majlis ilmu meskipun diadakan di masjid. Banyak kita temui para
wanita yang tidak menghadiri kajian atau daurah di masjid kerana beranggapan
dia tidak boleh masuk masjid ketika haid. Sebenarnya menurut pendapat yang
paling kuat adalah wanita haid boleh memasuki dan berdiam di masjid. Oleh
kerana itu, janganlah engkau terhalang daripada menuntut ilmu. Bukankah
Rasulullah menyuruh para wanita haid agar keluar menghadiri khutbah ‘Ied? Salah
satu hikmahnya ialah agar mereka dapat mendengar nasihat dan peringatan yang
disampaikan oleh khatib.
Demikianlah beberapa amalan yang dapat diamalkan oleh muslimah ketika
menjalani masa haid ataupun nifas mereka agar hari yang mereka lalui tidak
sia-sia dan kosong dari amal ibadah.
- Mengenai buku tersebut, saudari boleh dapatkannya
di Pustaka Bushra. Buku ini sangat digalakkan untuk saudari memilikinya
kerana terkandung di dalamnya untaian nasihat yang menyentuh jiwa buat muslimah
ketika menjalani masa keuzuran syarie mereka agar tidak lalai dari beribadah
dan disisipkan juga di dalamnya beberapa pembahasan fiqh wanita ketika haid,
nifas dan istihadhah.Buku yang kecil namun padat dengan ilmu ini diharapkan
dapat menjadi panduan buat muslimah ketika menjalani waktu haid atau nifas. Di
samping itu, buku ini juga sangat sesuai untuk saudari hadiahkan kepada teman
dan sahabat karib saudari dalam usaha menyampaikan ilmu dan menguatkan ukhwah
sesama kalian.
|
Isi kandungan buku |
Wallahu ‘Alam.
Semoga bermanfaat.
Love
Ummu Afif Norliyana
Melaka.