Friday, 26 January 2018

Bekal Muslimah Ketika Haidh dan Nifas



,Duhai Muslimah 
!Waktu Haidh dan Nifasmu Bukanlah Waktu Cuti Daripada Beribadah



Saudariku Muslimah! Sedarilah waktu haid dan nifasmu bukanlah waktu cuti daripada beribadah! Kerana hakikatnya kita diciptakan untuk terus beribadah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala sehingga ajal datang menjemput sepertimana yang terkandung pada Firman Allah:

واعبد ربك حتى يأتيك اليقين

"Dan sembahlah Tuhanmu sehingga datang kepadamu kematian." (Al-Hijr: 99)

Kebanyakan muslimah menyangka bahawa masa haid dan nifas adalah masa cuti daripada beribadah kerana kekeliruan dan kejahilan mereka tentang perkara yang dibenarkan dan dilarang oleh syariat Islam untuk diamalkan pada waktu tersebut. Oleh itu, pada entry kali ini, akan saya kongsikan beberapa amalan yang dipetik dari buku karangan Ummu Ihsan & Abu Ihsan yang berjudul "BEKAL MUSLIMAH KETIKA HAIDH DAN  NIFAS",  yang dapat diamalkan agar hari-hari yang dilalui ketika uzur syarie tersebut, terpenuhi dengan amal soleh yang secara tidak langsung sebagai perlindung daripada bisikan dan godaan syaitan. Di samping kita dapat merasakan kedekatan diri kepada Allah Ta’ala yang akan menghantarkan kita ke syurga-Nya. InsyaAllah.

BEKAL – BEKAL UNTUK MENGISI WAKTU HAID DAN NIFAS

1.  MEMPERBANYAKKAN ZIKRULLAH DALAM SETIAP KEADAAAN.

Wahai saudariku, zikrullah termasuk ibadah yang agung kedudukannya di sisi Allah ‘Azza wa Jalla. Dan Allah menjanjikan pahala yang sangat besar bagi sesiapa sahaja yang mengamalkannya. Zikir tersebut dapat menjadi penutup ataupun penampung bagi kekurangan dalam berbagai ibadah. Sebagai penutup kekurangan di dalam solat malam dan puasa di siang hari. Selain itu, zikir juga merupakan amalan yang paling agung untuk mendekatkan diri kepada Allah ‘Azza wa Jalla dan termasuk amalan yang dapat menjadikan seorang muslim sentiasa bersama Allah ‘Azza wa Jalla. Hal ini sebagaimana yang disebutkan di dalam sebuah hadis qudsi, Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:

أَنَا عِنْدَ ظَنِّي عَبْدِ بِيْ وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِيْ

“Aku menurut persangkaan hamba-Ku dan Aku sentiasa bersamanya bila dia mengingati-Ku.” (HR. al-Bukhari)

ANTARA ZIKIR-ZIKIR MA’TSUR YANG DAPAT DIAMALKAN IALAH:

-          لا إله إلا الله
Berdasarkan sabda Rasulullah :

“Perbanyakkanlah membaca syahadahلا إله إلا الله   sebelum kalian terhalang daripada mengucapkannya.”  (HR. Abu Ya’laa)

   -         سبحان الله، الحمد لله، لا إله إلا الله، الله أكبر 

Berdasarkan sabda Rasulullah :


لَأَنْ أَقُوْلَ سُبْحَانَ اللهِ وَالحَمْدُ لِلهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا طَلَعَتْ عَلَيْهِ الشَّمْسُ 

 “Aku mengucapkan Subhanallah, Alhamdulillah, Laa ilaaha illallah,   Allahu Akbar, lebih aku sukai daripada terbitnya matahari.” (HR. Muslim)

-          سبحان الله وبحمده
     Berdasarkan sabda Rasulullah :

مَنْ قَالَ سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ فِي يَوْمٍ مِائَةَ مَرَّةٍ حَطَّتْ خَطَايَاهُ وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ

     “Barangsiapa membaca Subhanallahi wabihamdihi seratus kali sehari nescaya akan diampunkan dosa-dosanya meskipun sebanyak buih di lautan.” (Muttafaqun ‘alaihi)

-          أذكار الصباح والمساء
Zikir pagi dan petang seperti yang terdapat di dalam Hisnul Muslim dan pelbagai lagi lafaz zikir yang tsabit dari as Sunnah.



Sumber: Pustaka Bushra
Boleh dapatkan buku zikir ini di Pustaka Bushra

  •        Boleh juga download app Hisnul Muslim di Play Store atau Apple Store.

2.      ISTIGHFAR

Wahai saudariku, barangkali sudah tidak terhitung dosa dan kesalahan yang telah kita lakukan pada masa lalu. Salah satu cara untuk memperbaiki masa lalu yang suram tersebut adalah dengan memperbanyakkan istighfar.
Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:

وأن استغفروا ربكم ثم توبوا إليه

  “Dan hendaklah kalian meminta ampun kepada Rabb kalian dan bertaubat kepada–Nya.”  (Hud: 10)

Rasulullah juga secara khusus memerintahkan agar kaum wanita memperbanyakkan istighfar, Baginda bersabda:

 “Wahai kaum wanita, bersedekahlah kalian dan perbanyakkanlah istighfar, ini kerana aku melihat kebanyakan penghuni neraka adalah kalian.”

Salah seorang wanita bertubuh besar bertanya: “Mengapa kebanyakan daripada kami sebagai penghuni neraka?” Baginda menjawab:

“Kerana kalian banyak melaknat dan tidak bersyukur kepada suami. Aku tidak melihat orang-orang yang kurang akal dan agamanya yang lebih dapat menaklukkan seorang lelaki yang berakal daripada kalian.” (Hadis riwayat Muslim).

Jadi saudariku muslimah, manfaatkan waktu uzurmu sebaiknya dengan memenuhi hari-hari kalian dengan beristighfar kepada Allah.

3.      TILAWAH AL-QURAN

Rasulullah bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ شَافِعٌ لِأَصْحَابِهِ يَوْمَ الًقِيَامَةِ اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ الْبَقَرَةَ وَآلَ عِمْرَانَ فَإِنَّهُمَا يَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ أَوْ كَأَنّهُمَا فُرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ يُحَاجَّانِ عَنْ أَهْلِهِمَا ثُمَّ قَالَ اقْرَءُوا الْبَقَرَةَ فَإِنَّ أَخَذْهَا بَرَكَةٌ وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ وَلَا يَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ .

“Bacalahal-Quran kerana sesungguhnya ia akan memberi syafaat bagi pembacanya pada hari kiamat kelak. Dan bacalah Az-Zahrawain, iaitu surah al-Baqarah dan Ali ‘Imran. Ini kerana kedua-dua surah itu akan datang pada hari kiamat, seolah-olah kedua-duanya adalah bagaikan segerombolan awan atau bagaikan dua bentuk payung yang menaungi atau bagaikan dua kelompok burung yang mengembang sayapnya. Keduanya akan berhujah untuk membela pembacanya pada hari kiamat. Dan bacalah olehmu akan surah al-Baqarah kerana sesungguhnya mengambilnya adalah keberkatan, meninggalkannya adalah kerugian dan sihir tidak akan mampu menghadapinya.” (HR. Imam Ahmad)

Wahai saudariku Muslimah, membaca al-Quran yang disertai dengan tadabbur adalah amal yang sangat agung dan besar manfaatnya. Ini kerana al-Quran adalah petunjuk, ubat penawar, hidayah dan rahmat bagi orang yang beriman.

v  Adapun pembahasan mengenai hukum memegang mushaf al-Quran sewaktu haid/nifas saudari boleh merujuk ke pautan berikut: https://rumaysho.com/1161-menyentuh-mushaf-al-quran-bagi-orang-yang-berhadats.html

4.      BERDOA

Doa adalah senjata kaum mukminin. Hampir seluruh aktiviti kehidupan seorang muslim tidak lepas daripada doa. Tidak terkecuali bagi wanita-wanita yang sedang haid. Dia mesti memperbanyakkan berdoa kepada Allah, memohon ke’afiatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat, memohon keistiqamahan di atas agamanya dan memohon semoga diberi keteguhan hati di atas kebenaran dan ketaatan.

Diriwayatkan daripada Syahr bin Hausyab radhiallahu ‘anhu, dia berkata: “Aku bertanya kepada Ummu Salamah: “Ya Ummu Salamah doa apa yang selalu diucapkan oleh Rasulullah ketika baginda berada di rumahmu?” Ummu Salamah radhiallahu ‘anha berkata: “Doa yang paling sering baginda baca adalah:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

“Ya muqallibal qulub tsabbit qalbi ‘ala diinika (Wahai zat yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu.)” (Hadis riwayat At-Tirmidzi dan dia berkata hadis ini hasan dan disahihkan oleh al-Albani dalam sahih Jami’ at-Tirmizi)

Diriwayatkan daripada Anas radhiallahu ‘anhu bahawa doa yang banyak dibaca oleh Rasulullah adalah:

 اللَّهُمَّ آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

“Ya Allah berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka.” (Muttafaqun ‘alaihi)

5.      MENUNTUT ILMU

Menuntut ilmu merupakan kewajipan bagi setiap muslim dan muslimah. Menuntut ilmu merupakan jalan menuju ke syurga dan tanda kebaikan seorang insan. Rasulullah bersabda:

مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينَ

“Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan pada dirinya maka Allah akan memberinya kefahaman di dalam agama.” (Muttafaqun ‘alaihi)

Banyak sekali wasilah ilmu yang boleh kita tempuh pada hari ini, yang paling utama adalah menghadiri majlis-majlis ilmu. Kemudian membaca buku-buku agama yang bermanfaat atau mendengar kaset atau cd ceramah tentang masalah-masalah aqidah, ibadah dan permasalahan yang berkaitan fiqh wanita.

Di dalam perkara ini, tidak mengapa jika seorang muslimah yang mengalami haid mendatangi majlis ilmu meskipun diadakan di masjid. Banyak kita temui para wanita yang tidak menghadiri kajian atau daurah di masjid kerana beranggapan dia tidak boleh masuk masjid ketika haid. Sebenarnya menurut pendapat yang paling kuat adalah wanita haid boleh memasuki dan berdiam di masjid. Oleh kerana itu, janganlah engkau terhalang daripada menuntut ilmu. Bukankah Rasulullah menyuruh para wanita haid agar keluar menghadiri khutbah ‘Ied? Salah satu hikmahnya ialah agar mereka dapat mendengar nasihat dan peringatan yang disampaikan oleh khatib.

Demikianlah beberapa amalan yang dapat diamalkan oleh muslimah ketika menjalani masa haid ataupun nifas mereka agar hari yang mereka lalui tidak sia-sia dan kosong dari amal ibadah.


  •      Mengenai buku tersebut, saudari boleh dapatkannya di Pustaka Bushra. Buku ini sangat digalakkan untuk saudari memilikinya kerana terkandung di dalamnya untaian nasihat yang menyentuh jiwa buat muslimah ketika menjalani masa keuzuran syarie mereka agar tidak lalai dari beribadah dan disisipkan juga di dalamnya beberapa pembahasan fiqh wanita ketika haid, nifas dan istihadhah.Buku yang kecil namun padat dengan ilmu ini diharapkan dapat menjadi panduan buat muslimah ketika menjalani waktu haid atau nifas. Di samping itu, buku ini juga sangat sesuai untuk saudari hadiahkan kepada teman dan sahabat karib saudari dalam usaha menyampaikan ilmu dan menguatkan ukhwah sesama kalian. 

Isi kandungan buku





Wallahu ‘Alam.
Semoga bermanfaat.




Love
Ummu Afif Norliyana
Melaka.

No comments:

Post a Comment